Kamal Adli bersama peguamnya, Ahmad Hadi Mohamad Salleh di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini.

KUALA LUMPUR – Pelakon, Kamal Adli mengaku sudah lama tidak bertemu dan masih menyimpan perasaan sayang serta rindu mendalam terhadap isterinya, Uqasha Senrose.

Kamal atau nama penuhnya, Ahmad Kamal Ahmad Adli, 39, turut memaklumkan, hampir sebulan beliau tidak dapat berkomunikasi dengan isterinya selepas disekat sejak 27 September lalu.

Kamal juga merayu orang ramai tidak mengeluarkan kata-kata negatif terhadap isterinya ketika mereka sedang berdepan kemelut rumah tangga.

“Saya berada di sini (mahkamah syariah) untuk menyelamatkan rumah tangga saya, sayangkan isteri dan anak saya sangat-sangat serta tidak mahu apa-apa terjadi hari ini dan anggap semua ini atas kesalahan saya sendiri.

“Saya juga memohon kepada semua netizen, jangan tulis apa-apa yang tidak elok pada isteri saya, tolong jangan kecam dia sebab penat kerja, dia tertekan dan saya faham perkara itu.

“Ia terlalu berat untuk kami dan kalau nak kutuk, kutuk saya sahaja. Jangan beri tekanan pada dia sebab apa yang berlkau pada kami terlalu berat untuk dikendalikan,” katanya selepas prosiding mahkamah hari ini.

Pelakon, Kamal Adli ditemui di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini.

Pada masa sama, pelakon drama Dia Imamku itu menjelaskan bahawa tidak semua perkara boleh dikongsikan kepada semua orang dan hanya akan berkongsi serta bercerita dengan keluarga sahaja.

Kamal juga berharap isterinya dapat dilembutkan hati dan meluahkan bahawa beliau tidak gembira serta dalam situasi tidak baik untuk hadir ke mahkamah hari ini.

“Untuk isteri saya, sayang, janganlah ke sini-sini lagi. Kita jumpa sebab kita masih suami isteri dan selesaikan secara baik demi anak kita, Hawra. Saya datang sebab cinta, bukan benci,” luahnya.

Pelakon Uqasha Senrose bersama ahli keluarga dan peguam di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Dalam pada itu, Kamal juga menafikan dakwaan kononnya wujud orang ketiga dalam rumah tangga dan menegaskan tidak pernah berlaku curang terhadap Uqasha.

“Paling penting, saya tak curang, saya tiada orang lain. Saya hanya ada dia dan anak saya sahaja. Kalau kata saya buat kasar terhadap isteri, buktikan. Saya hanya sayang dia sahaja,” tegasnya.

Hari ini, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan menetapkan 19 November depan bagi prosiding ketiga perceraian Kamal dan Uqasha susulan peguam syarie plaintif menarik diri.

Uqasha sebelum ini memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya pada 1 Oktober lalu atas alasan tiada persefahaman dalam rumah tangga.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 dan dikurniakan seorang anak perempuan berusia 15 bulan, Hawra Uqaira. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast