BUKIT MERTAJAM – Kegiatan memproses sisa komponen elektronik (e-waste) bernilai lebih RM22 juta secara haram di sebuah kilang di Jalan Bukit Tambun, Juru di sini terbongkar hasil serbuan Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama beberapa agensi penguat kuasa semalam.
Operasi khas Op Hazard itu dijalankan oleh Cawangan Risik Batalion 2 PGA dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) serta Bahagian Siasatan Jenayah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Perak, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, operasi bermula jam 9 pagi hingga 6 petang itu mengesan kegiatan memproses e-waste secara tidak sah di premis berkenaan yang dipercayai beroperasi sejak tiga minggu lalu.
Katanya, hasil pemeriksaan menemukan pelbagai peralatan pemprosesan dan ribuan beg berisi sisa elektronik dengan anggaran keseluruhan 454,000 kilogram, selain wang tunai RM6,147 serta sebuah lori treler membawa 20,000 kilogram sisa elektronik siap dilerai.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM22.33 juta, menjadikannya antara serbuan terbesar melibatkan pemprosesan e-waste haram di kawasan ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, enam individu berumur antara 22 hingga 55 tahun terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan, dua warga China dan tiga wanita warga Myanmar ditahan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 18(1A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Semua tangkapan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah IPD Seberang Perai Tengah manakala barang rampasan diserahkan kepada JAS Pulau Pinang untuk tindakan lanjut,” katanya.
Mengulas lanjut Shahrum berkata, PGA akan terus mempergiat rondaan dan pengawasan di negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis bagi membanteras kegiatan pemprosesan e-waste haram.
“PGA komited mengambil tindakan tegas serta tidak akan berkompromi dalam penguatkuasaan undang-undang.
“Masyarakat juga digesa menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti menyalahi undang-undang,” katanya.- MalaysiaGazette
















