KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kini giat membangunkan ekosistem industri penjagaan yang kukuh di Malaysia melalui penyediaan Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Penjagaan Malaysia 2026-2030.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia sejajar dengan usaha kerajaan mempersiapkan negara menghadapi cabaran populasi menua.
Tambah beliau, pembangunan kerangka strategik itu bukan sahaja menumpukan kepada penjagaan warga emas, tetapi turut meliputi penjagaan kanak-kanak serta Orang Kurang Upaya (OKU).
“Industri dan ekonomi penjagaan adalah sektor penting yang semakin mendapat perhatian. Permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan dijangka meningkat, dan sebab itu KPWKM mengambil langkah membangunkan satu ekosistem yang mampan dan menyeluruh,” katanya pada sesi pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohamad Shafizan Kepli yang meminta kementerian memperincikan hala tuju dan usaha kerajaan dalam membangunkan ekonomi penjagaan yang inklusif di Malaysia bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
Menurut Nancy, kerangka strategik dan pelan tindakan tersebut juga dibangunkan selari dengan Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan (NAB) yang disediakan oleh Kementerian Ekonomi yang turut menyentuh aspek Penjagaan Jangka Panjang di bawah seliaan KPWKM.
Beliau memaklumkan, dokumen berkenaan dirangka melalui pendekatan “Whole of Nation”, melibatkan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, sektor swasta, institusi pengajian tinggi, pemain industri serta pakar dalam bidang penjagaan.
“Kerangka Strategik ini dirancang untuk dilancarkan semasa penganjuran ‘The New Frontiers in The Care Economy Conference’ peringkat ASEAN pada 4 dan 5 November 2025,” ujarnya.
Katanya, bagi memastikan kelestarian ekonomi penjagaan di negara ini, kerangka strategik tersebut akan memberi tumpuan kepada lima strategi utama iaitu pengukuhan perundangan dan tatakelola; pembangunan kompetensi dan laluan kerjaya; advokasi; pemerkasaan kolaborasi strategik dan penyelidikan, teknologi dan data.
Tambah beliau, industri penjagaan turut diberi perhatian khusus dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di bawah Bab 5, Strategi D2, Persediaan Menuju Negara Tua yang antara lain menekankan usaha meningkatkan tahap kompetensi penjaga dalam tempoh lima tahun akan datang.
Melalui Belanjawan 2026 katanya, kerajaan turut menunjukkan komitmen berterusan dalam memperkukuh sektor penjagaan dengan pelbagai inisiatif sokongan.
“KPWKM merakamkan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri atas keprihatinan terhadap isu penjagaan di Malaysia. Walaupun perubahan tidak berlaku dalam sekelip mata, ia mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan kesejahteraan setiap lapisan masyarakat,” ujar beliau. – MalaysiaGazette
















