KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) digesa meneliti semula keputusan mendakwa dua guru Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa Confucian, Pulau Pinang yang berdepan pertuduhan merotan seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun.
Gesaan itu dibuat Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh yang menyifatkan pendakwaan berkenaan sebagai tidak pernah berlaku sebelum ini dan berisiko mewujudkan precedent undang-undang yang boleh membuka ruang kepada tindakan serupa terhadap guru pada masa akan datang.
Menurut beliau, tindakan mendakwa guru atas perbuatan mendisiplinkan pelajar boleh memberi mesej yang salah dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pendidik untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.
“Kami menyeru pihak berkuasa menyemak semula pertuduhan tersebut dengan segera memandangkan kes ini telah ditetapkan untuk pengurusan di mahkamah.
“Walaupun kami menghormati budi bicara penuh AGC dalam membuat keputusan pendakwaan, kami merayu agar pertuduhan ini dikaji semula terutama memandangkan terdapat keraguan serius sama ada kedua-dua guru terbabit mempunyai niat menyebabkan kecederaan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan sekiranya perbuatan merotan itu benar-benar berlaku,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Ramkarpal turut mempersoalkan kelewatan hampir dua tahun antara tarikh kejadian yang didakwa berlaku pada 6 Disember 2023 dengan tarikh pertuduhan terhadap kedua-dua guru berkenaan pada 6 Oktober 2025 yang menurutnya menimbulkan persoalan tentang niat sebenar di sebalik tindakan tersebut.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.
Ramkarpal berkata, hasil pertemuan dengan kedua-dua guru tersebut minggu lalu mendapati mereka tidak pernah terbabit dalam sebarang aduan atau isu disiplin sepanjang berkhidmat di sekolah berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan dua guru terbabit dihadapkan ke mahkamah berasingan atas pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang pelajar menggunakan rotan pada Disember 2023.
Difahamkan, seorang daripada tertuduh masih berkhidmat sebagai guru manakala seorang lagi telah bersara. – MalaysiaGazette
















