KUALA LUMPUR – Gangguan rangkaian internet semalam yang menjejaskan sistem pemeriksaan kenderaan (CAVIS) Puspakom di cawangan Kota Samarahan telah berjaya dipulihkan pada pagi ini.
Puspakom berkata, insiden yang berlaku pada sekitar jam 2 petang telah menjejaskan operasi pemeriksaan di cawangan tersebut.
Menurutnya, ketika gangguan dialami, daripada 510 tempahan yang diterima, sebanyak 218 kenderaan telah berjaya menjalani pemeriksaan manakala 292 kenderaan tidak dapat diperiksa akibat gangguan tersebut.
Hasil siasatan awal mengesahkan gangguan berpunca daripada kerosakan gentian optik oleh Telekom Malaysia (TM).
Pasukan teknikal TM telah mengambil tindakan segera dan sambungan rangkaian telah dipulihkan sepenuhnya pada pagi ini, membolehkan operasi pemeriksaan berjalan seperti biasa.
Puspakom menghargai kesabaran dan kefahaman pelanggan yang terjejas sepanjang tempoh tersebut.
Pelanggan yang tidak sempat menjalani pemeriksaan pada 27 Oktober dipelawa untuk hadir semula ke cawangan Kota Samarahan minggu ini secara terus tanpa temu janji.
Mereka juga boleh memilih untuk mendapatkan bayaran balik penuh seperti yang telah ditawarkan sebelum ini.
PUSPAKOM memohon maaf atas kesulitan yang dialami dan terus komited untuk memberikan perkhidmatan pemeriksaan yang cekap dan boleh dipercayai kepada semua pelanggan. – MalaysiaGazette















