BUTTERWORTH – Polis sedang memburu seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes pembunuhan ejen insurans yang mayatnya dijumpai dalam bagasi di belakang Flat Ampang Jajar, Jalan Permatang Pauh di sini pada 9 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, lelaki terbabit dikenali sebagai Ong Wei Hao, 41, beralamat terakhir di A-7-07 Villa Tanjung, Jalan Villa Tanjung di sini.
“Lelaki ini dikesan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan lelaki ini atau kes tersebut diminta menghubungi Asisten Superintendan Norhaslinda Rahmat di talian 04-576 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, MalaysiaGazette difahamkan tiga daripada empat suspek yang ditahan reman selama tujuh hari bermula Rabu lalu bagi membantu siasatan kes tersebut dibebaskan hari ini dengan jaminan mengikut Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah.
Manakala seorang lagi suspek akan disambung reman bagi membantu siasatan lanjut.
Media pada 9 Oktober lalu melaporkan mayat ejen insurans, Lee Boon Han, 31, ditemui dalam keadaan kesan kelar pada leher, tangannya diikat serta mukanya diserkup plastik oleh pekerja penyelenggaraan longkang kira-kira pukul 1.43 tengah hari.
Ketua Polis negeri, Datuk Azizee Ismail berkata, berdasarkan laporan bedah siasat yang diperoleh daripada pakar forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), punca kematian mangsa adalah akibat sesak nafas. – MalaysiaGazette
















