Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus

KUALA LUMPUR – Polis telah menyerahkan kertas siasatan berhubung kes ugut dan cabul membabitkan tiga anggotanya kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) hari ini untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya kini menunggu arahan selanjutnya daripada pejabat TPR selepas siasatan lengkap dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur.

“Siasatan tatatertib turut dijalankan terhadap ketiga-tiga anggota terbabit dan ketika ini mereka masih bertugas, namun tidak diberikan tugasan di lapangan.

“Sekiranya mendapat arahan untuk tuduh, ketiga-tiga anggota terbabit akan ditahan kerja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, tiga anggota polis itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian pemerasan dan cabul terhadap seorang pelajar wanita di kawasan Sentul Pasar, pada 17 September lalu.

Mangsa dilaporkan bersama teman lelaki telah ditahan sekumpulan anggota polis ketika berada di Jalan Sentul Pasar, sebelum mendakwa diperas sebanyak RM10,000 dan dipaksa melakukan perbuatan tidak senonoh.

Fadil menjelaskan, pihaknya mencadangkan supaya semua suspek dituduh mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan, manakala suspek pertama turut berdepan pertuduhan tambahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast