Perdana Menteri , Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 28 OKTOBER 2025.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa bangga kerana menyifatkan nama Malaysia kini harum di seluruh dunia susulan kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia sepanjang lima hari penganjuran acara itu menjadi tumpuan dunia khususnya bagaimana negara ini berurusan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Dalam masa sama dunia juga sedang memerhati bagaimana Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 berdepan dengan China; Brazil dan Afrika Selatan.

“Seluruh dunia perhatikan Malaysia, bagaimana kita boleh handle Trump,  esoknya pula dengan Li Qiang (Premier China)…kita tandatangani perjanjian dengan negara-negara ini selang sehari.

“Kemudian kita sepakat dengan ASEAN bawa Brazil sedangkan negara itu bermusuh dengan Trump. Begitu juga dengan Afrika Selatan (yang bermusuh dengan Trump) tetapi kita bawa ke sidang kemuncak ini.

“Satu dunia beri perhatian kepada Malaysia tetapi ada dua tiga pihak yang berhasad dengki (pembangkang dalam negara),” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di sini hari ini.

Sementara itu, Anwar berkata, kehadiran pemimpin-pemimpin besar dunia seperti Trump dan Li Qiang membuktikan Malaysia tidak tunduk atau takut kepada mana-mana kuasa besar.

Malah, menurut beliau, perkara itu juga dibuktikan apabila Malaysia menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0 iaitu perjanjian yang semakin memperkukuhkan kerjasama ekonomi dengan China.

“Jika kita takut dengan AS, mana mungkin kita tandatangani perjanjian dengan China sehari selepas Trump pulang, tak mungkin,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kesemua kejayaan sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 itu adalah hasil kebijaksanaan diplomasi kesemua pihak dalam Kerajaan Madani. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast