Fadil Marsus

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang aktif di sekitar Lembah Klang hasil penahanan dua individu serta rampasan dadah bernilai lebih setengah juta ringgit dalam serbuan di kawasan tempat letak kereta sebuah kondominium di Jalan Klang Lama, di sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata, hasil risikan dan maklumat orang awam, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menyerbu lokasi berkenaan dan menahan seorang lelaki serta seorang wanita masing-masing berusia 47 dan 56 tahun.

“Serbuan dijalankan pada 3.30 petang dan hasil pemeriksaan terhadap sebuah kereta Proton Exora yang dinaiki suspek, polis menemukan bahan disyaki ganja seberat 18.5 kilogram dianggarkan bernilai RM553,500,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket yang dipercayai aktif sejak Ogos lepas menjadikan kawasan tempat letak kereta kondominium berkenaan sebagai lokasi transaksi bagi mengaburi kegiatan mereka daripada pihak berkuasa.

Menurutnya, sindiket itu menjalankan kegiatan pengedaran di sekitar Lembah Klang dan dadah yang dirampas dianggarkan mampu menampung keperluan kira-kira 37,000 penagih.

Fadil berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah, namun semakan rekod menunjukkan suspek lelaki mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29 Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Kedua-dua suspek direman selama enam hari bermula 26 hingga 31 Okt ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sekurang-kurangnya 12 sebatan, jika sabit kesalahan,” katanya.

Selain rampasan dadah, polis turut menyita wang tunai berjumlah RM250 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM), tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengedaran, pemilikan atau perlindungan kegiatan dadah.

Orang ramai diseru menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui talian hotline JSJN di 012-208 7222, katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast