Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA.

KUALA LUMPUR – Tapak bekas terminal feri di Kompleks Datuk Shaari Jihin, Pelabuhan Klang yang sebelum ini menyediakan perkhidmatan feri ke Sumatera, Indonesia bakal dibangunkan semula sebagai destinasi pelancongan moden dikenali sebagai Sunway Pier.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menjelaskan, projek berkenaan kini berada dalam peringkat pembinaan dan dijangka siap pada suku kedua 2028.

Menurutnya, terminal lama itu sebelum ini sering berdepan masalah kesesakan dan kekurangan kemudahan asas, terutamanya ketika musim perayaan apabila ribuan warga asing berkumpul di kawasan berkenaan.

“Sunway Pier bakal menjadi tarikan baharu berkonsep moden yang menggabungkan kemudahan komersial, ruang rekreasi tepi laut dan akses mudah kepada Stesen Keretapi Pelabuhan Klang yang turut dicadang untuk dinaik taraf seiring dengan peningkatan perkhidmatan tren komuter pada masa depan,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Loke berkata, walaupun projek tersebut merupakan inisiatif pihak swasta, kerajaan menyambut baik pembangunan tersebut kerana ia dijangka memberi manfaat ekonomi besar kepada kawasan Pelabuhan Klang dan sekitarnya.

Antara sumbangan yang diunjurkan kata beliau, termasuk mampu menjana lebih RM5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tempoh 10 tahun, dapat menarik lebih 30 juta pelancong, mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan baharu dan menjadi tarikan utama pelancongan di kawasan pesisir Klang.

Selain itu katanya, Sunway Pier akan memberi peluang kepada masyarakat setempat menikmati kawasan pesisir sebagai ruang riadah awam, sekaligus menghidupkan semula ekonomi setempat melalui aktiviti perniagaan dan pelancongan.

“Projek ini telah mendapat semua kelulusan yang diperlukan daripada pihak berkuasa, termasuk Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bagi kelulusan perancangan dan pelan bangunan, serta kelulusan teknikal daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Kerajaan percaya pembangunan ini akan memperkukuh kedudukan Pelabuhan Klang sebagai pintu masuk antarabangsa sektor pelancongan, selain memperindah imej kawasan pesisir melalui pembangunan mampan berteraskan kepentingan awam,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast