Keempat - empat tertuduh dibawa keluar di kamar mahkamah selepas mengaku tidak bersalah atas10 pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram berjumlah RM559,329.50

KUANTAN – Empat pekebun durian tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, terhadap 10 pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram berjumlah RM559,329.50 pada tahun lalu.

Chin Swee Heung, 53 didakwa lima pertuduhan, Lai Seng Wah, 44 dan Tong Thin Fook, 60, masing-masing dua pertuduhan manakala Chua Seng Wen, 64 didakwa satu pertuduhan.

Keempat-empat tertuduh minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Sazlina Safie.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi di Kampung Sungai Klau, Sungai Klau dan Sungai Ruan, Raub antara 4 Julai 2024 hingga 7 Oktober lalu.

Swee Heung didakwa atas lima pertuduhan memperoleh hasil daripada aktiviti haram yang keseluruhan berjumlah RM48,774, Seng Wah dengan dua pertuduhan berjumlah RM40,245.

Seng Wen didakwa satu pertuduhan berjumlah RM15,945 dengan melakukan kesalahan sama manakala Chin Swee dan Thin Fook didakwa atas dua pertuduhan memperoleh hasil daripada aktiviti haram yang keseluruhannya berjumlah RM454,365.50.

Kesemua wang tersebut hasil daripada penjualan buah durian dari tanah Hutan Simpan yang diberi permit penggunaan kepada Perbadanan Kerajaan Negeri Pahang dan tanah milik Kerajaan Pahang yang diusahakan tanpa kebenaran yang sah daripada pihak berkuasa negeri.

Mereka dituduh melakukan kesalahan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

Sesi pendakwaan yang dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ezuain Farhana Ahmad mencadangkan jaminan antara RM20,000 dan RM50,000 kepada empat tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Amirul Afiqq Mohamad Lokman.

Hakim kemudiannya menetapkan jaminan RM20,000, masing-masing dengan syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan setiap tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 9 Disember depan untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast