Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 28 MEI 2024. (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, keterangan bersumpah Datuk Seri Najib Razak dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak boleh dipercayai kerana ia tidak menjelaskan perkara sebenar berkaitan kemasukan wang ke dalam akaun peribadinya.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib berhujah, keterangan bekas Perdana Menteri bahawa beliau ‘percaya’ wang yang mencurah masuk ke dalam akaun Ambanknya adalah derma yang disandarkan kepada empat surat dari Kerajaan Arab Saudi, merupakan penafian semata-mata.

Hujah beliau, derma tersebut sengaja diada-adakan tanpa melalui dokumentasi yang sah atau saksi yang menyokongnya dengan bukti yang kukuh.

“Tiada sebarang pengesahan tulen berkaitan derma Arab serta kurangnya usaha wajar atau siasatan daripada seorang Perdana Menteri dan Menteri Kewangan apabila menerima sejumlah wang yang besar ke dalam akaun peribadinya.

“Keterangan mengenai derma Arab itu merupakan kisah yang berlebih-lebihan, melangkaui “Hikayat Seribu Satu Malam’ (Tale of the Arabian Nights), tidak kredibel serta tidak boleh dipertahankan,” hujah beliau.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Datuk Ahmad Akram Gharib hadir ke mahkamah pada hari pertama hujahan akhir kes pembelaan bagi pertuduhan penyelewengan membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB di Istana Kehakiman Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 21 OKTOBER 2025 (GAMBAR FAIL)

Ahmad Akram menyatakan demikian ketika berhujah pada akhir kes pembelaan pada perbicaraan terhadap Najib yang menghadapi empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Beliau selanjutnya menghujahkan, naratif pembelaan juga tidak masuk akal, bercanggah dan tidak dikuatkan melalui keterangan sokongan.

Hujah Ahmad Akram, Najib menggunakan kedudukan sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk mempengaruhi lembaga pengarah 1MDB melaksanakan transaksi tidak wajar secara tergesa-gesa yang mana matlamat akhirnya untuk mendapat kepuasan demi mengkayakan diri sendiri.

Hujah beliau, ini berdasarkan kepada masa dan corak aliran masuk dana yang secara langsung bertepatan dengan urus niaga 1MDB selain komunikasi melibatkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang beliau sedar sepenuhnya dan mendapat manfaat daripadanya.

“Kita semua maklum bahawa kes ini besar bukan sahaja kerana ia melibatkan kepuasan (habuan) yang diterima, apa yang lebih penting ialah bagaimana tertuduh memperolehinya lapis demi lapis.

“Sukar untuk menentukan tarikh yang tepat kerana setiap pertuduhan adalah panjang dan tersendiri. Mustahil untuk menentukan tarikh sebenar Najib menggunakan kedudukan dalam setiap pertuduhan.

“Tarikh yang dinyatakan dalam pertuduhan adalah tempoh masa tertuduh menerima habuan yang didepositkan ke dalam akaun peribadinya. Sebab itulah mengapa kami merangka pertuduhan sedemikian. Apa yang penting, Najib faham pertuduhan yang dihadapinya,” hujah beliau.

Sehubungan itu, tiada perkara yang tidak wajar dalam merangka pertuduhan dengan merujuk kepada tarikh penerimaan suapan kerana tarikh tersebut secara muktamad menandakan selesainya setiap episod.

Oleh yang demikian, Ahmad Akram menghujahkan, Najib wajar disabitkan atas setiap pertuduhan kerana pendakwaan telah membuktikan semua elemen di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melampaui tahap keraguan munasabah.

Hujah beliau, empat pertuduhan di bawah seksyen 23(1) Akta SPRM adalah jelas, serba lengkap dan hanya menyatakan satu sahaja kesalahan bagi setiap pertuduhan iaitu tertuduh sebagai pegawai badan awam, menggunakan kedudukan untuk kepuasan.

Mahkamah sedang mendengar penghujahan kes bekas Perdana Menteri yang menghadapi empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Najib didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast