Khaliq Mehtab Mohd Ishaq. Foto: SUMBER MEDIA SOSIAL

KUALA LUMPUR – Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kepala Batas, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan Bersatu.

Keputusan itu diambil selepas lantikannya sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada Januari lalu ditamatkan.

Sementara itu, Khaliq Mehtab berkata, beliau berhak bersuara dalam semangat demokrasi parti termasuk menyatakan pandangan yang tidak sehaluan dengan kepimpinan Bersatu.

Sambil menghormati keputusan itu, jelasnya, beliau percaya hak untuk menyuarakan pandangan dan pendirian yang berbeza merupakan sebahagian daripada semangat demokrasi dalam parti tersebut.

Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan supaya  pelan peralihan kepimpinan dalam Bersatu dilaksanakan segera dan berhemah bagi memastikan kelangsungan serta perpaduan dalam parti.

“Pandangan ini lahir atas dasar kasih dan tanggungjawab terhadap parti, bukan atas niat untuk menentang kepimpinan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Khaliq Mehtab berkata, lantikan MPT Bersatu selepas ini seharusnya dibuat berdasarkan kredibiliti, kemampuan dan prinsip perjuangan, bukannya sekadar melahirkan barisan “Yes Man.”

Tegas beliau, parti yang kuat terbina daripada kepelbagaian pandangan dan keberanian menyatakan kebenaran.

Keputusan Khaliq Mehtab meletak jawatan itu menambah kepada konflik dalaman Bersatu yang kini dilihat semakin buruk selepas Lembaga Disiplin Bersatu mengambil tindakan terhadap enam pemimpin akar umbi baru-baru ini.

Mereka termasuk Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang dipecat keahlian Bersatu serta Ahli Parlimen Machang, WWan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang digantung keahlian salama satu penggal.

Tindakan itu diambil berhubung isu akuan bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast