Antara barang yang dirampas selepas menahan suspek kes samun bersenjatakan pisau di Tanjung Kupang, Iskandar Puteri, 20 Oktober lalu.

ISKANDAR PUTERI – Seorang lelaki yang terlibat dalam dua kes samun bersenjatakan pisau dalam tempoh sehari diberkas beberapa jam selepas melakukan aktiviti jenayah itu di kawasan Tanjung Kupang, di sini, 20 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, laporan pertama diterima daripada seorang wanita tempatan berusia 25 tahun pukul 10 pagi selepas disamun di tempat kerjanya di sebuah kedai serbaneka di Tanjung Kupang.

“Suspek bertindak mengacu pisau ke arah mangsa dan melarikan wang tunai dalam mesin juru wang berjumlah RM285.

“Laporan kedua diterima daripada seorang lelaki warganegara China berusia 50 tahun yang melaporkan isterinya disamun pukul 7.20 petang hari yang sama,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, mangsa memaklumkan isterinya yang juga warganegara China berusia 54 tahun mengalami kecederaan pipi sebelah kiri akibat disamun suspek yang bersenjatakan sebilah pisau.

Menurutnya, suspek telah melarikan barang-barang milik mangsa dan isterinya sebelum membuat laporan polis selepas merujuk isterinya ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan.

Bertindak atas maklumat katanya, sepasukan anggota polis membuat tangkapan ke atas suspek yang berusia 30 tahun di Tanjung Kupang.

Hasil ujian saringan air kencing katanya, mendapati negatif dadah manakala semakan menunjukkan suspek mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah.

Pada masa sama katanya, pihak polis merampas barang-barang antaranya satu kotak rokok, satu pisau lipat, dua beg, satu karton arak, satu dompet, satu keping passport antarabangsa China dan wang tunai bercampur-campur RM268.

Suspek katanya, disiasat bawah Seksyen 392 dan 394 Kanun Keseksaan dan direman sembilan hari sehingga hari ini untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast