KUALA LUMPUR – Seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas bot fiber miliknya mengalami kerosakan enjin dan hanyut di perairan Pantai Kemasin, Bachok, semalam, ditemui selamat pagi tadi.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kapten Erwan Shah Soahdi berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 7.30 malam Isnin selepas menerima maklumat awam berhubung sebuah bot yang hanyut kira-kira satu batu nautika dari Pantai Kemasin.
Menurutnya, laporan tersebut dimajukan ke Pusat Penyelarasan Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan sebelum Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) diaktifkan pada malam yang sama dengan penglibatan aset laut Maritim Malaysia dan agensi lain.
“Pada jam 10.30 pagi Selasa, Pusat Operasi Maritim Negeri Kelantan menerima maklumat bahawa mangsa telah dijumpai dalam keadaan selamat selepas berjaya menghidupkan semula enjin bot dan pulang ke Jeti Pasar Nelayan Sabak,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan operasi itu turut dibantu maklumat pantas masyarakat setempat yang menyalurkan perkembangan terkini kepada pihak berkuasa sepanjang proses pencarian dijalankan.
Maritim Malaysia menasihatkan komuniti nelayan supaya sentiasa memeriksa peralatan bot, memakai jaket keselamatan serta membawa peralatan komunikasi dan Suar Penentu Lokasi Peribadi (PLB) bagi memudahkan pengesanan sekiranya berlaku kecemasan di laut. – MalaysiaGazette















