KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang pemilik syarikat pembekal makanan kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu bagi tuntutan bekalan makanan program latihan kemahiran bernilai kira-kira RM450,000
Perintah reman selama tiga hari, bermula 28 hingga 30 Oktober 2025, dikeluarkan oleh Majistret Izra Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, semalam.
Menurut sumber, suspek wanita berusia lingkungan 50-an itu ditahan sekitar jam 8.45 malam pada 27 Oktober lalu ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2018 dengan mengemukakan tuntutan bekalan makanan untuk sebuah program latihan kemahiran kepada agensi kerajaan melalui sebuah yayasan di ibu negara,” katanya.
Siasatan awal mendapati beberapa nama peserta yang digunakan dalam tuntutan berkenaan menafikan penglibatan mereka dalam program latihan tersebut, malah bekalan makanan juga didakwa tidak dilaksanakan sebagaimana dinyatakan dalam permohonan, ujarnya.
Sumber berkata, tindakan suspek dipercayai bertujuan mendapatkan bayaran daripada agensi kerajaan dengan menggunakan dokumen palsu yang seolah-olah menunjukkan perkhidmatan telah dilaksanakan sepenuhnya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus, mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette
















