Datuk Mohd Azis Jamman.

KUALA LUMPUR – Parti Warisan menyifatkan perjanjian perdagangan timbal balik antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) sebagai satu lagi bukti kerajaan Persekutuan mengabaikan hak Sabah dan Sarawak.

Ketua Penerangannya, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, umum mengetahui Sabah dan Sarawak merupakan pengeluar utama minyak dan gas negara dengan kemudahan gas asli cecair (LNG) bertaraf dunia di Kimanis dan Bintulu yang telah menjamin keselamatan tenaga Malaysia selama berdekad-dekad.

Namun, jelasnya, berbanding memperkukuh keupayaan dua negeri itu, Putrajaya memilih membeli gas dari AS, satu keputusan yang disifatkan tidak masuk akal dan seolah-olah menafikan sumbangan besar Sabah dan Sarawak yang selama ini menjadi nadi kemakmuran negara.

“Langkah ini akan mencipta peluang pekerjaan dan keuntungan di luar negara, bukan di tanah air.

“Ia menguntungkan industri AS, sedangkan rakyat Sabah dan Sarawak kehilangan peluang pekerjaan, kontrak serta pelaburan hiliran yang sepatutnya terhasil melalui peningkatan pengeluaran dan pemprosesan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, dengan mengimport LNG dan arang batu dari AS, Putrajaya bukan sahaja melemahkan daya tahan tenaga negara sendiri, malah mengurangkan peranan strategik Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan.

Dakwanya, ia menghantar mesej yang salah bahawa Malaysia boleh mengabaikan pengeluar sendiri dan bergantung kepada pihak luar.

“Langkah ini bukan sahaja menjejaskan kedudukan Malaysia Timur, tetapi turut mengancam kedaulatan jangka panjang negara terhadap sumbernya sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, tegas beliau, Malaysia seharusnya mengutamakan tanggungjawab dalam negeri sebelum menjalin komitmen perdagangan antarabangsa termasuk menghormati Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan memulangkan 40 peratus hasil kepada Sabah.

Jelasnya, Sabah dan Sarawak juga perlu diberikan kuasa untuk mengurus sumber negeri sendiri secara telus dan adil, manakala pelaburan perlu dibuat dalam industri serta tenaga kerja tempatan, bukannya memperkayakan pembekal asing.

“Selagi Kerajaan Persekutuan gagal menunaikan komitmen perlembagaan terhadap Sabah dan Sarawak, tiada perjanjian perdagangan yang boleh dianggap sebagai kemajuan.

“Ia hanya membuktikan bahawa keutamaan Putrajaya masih tersasar dan terpisah daripada hak serta realiti rakyat Malaysia Timur,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast