KUALA LUMPUR – Perjanjian timbal balik perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) menunjukkan hak negeri-negeri pengeluar termasuk Terengganu yang memiliki deposit terbesar sumber unsur nadir bumi (REE) diketepikan dan dicabuli tanpa sebarang rundingan mahupun makluman rasmi.
Sedangkan, kata Ketua Penerangan Pas Terengganu, Mohd Harun Esa, Kerajaan Persekutuan sebelum ini mengakui secara terbuka di Parlimen bahawa REE berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, selaras dengan peruntukan Perlembagaan.
Malah, ujar beliau, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) turut menyatakan sebarang dasar dan pengagihan hasil REE akan diputuskan secara inklusif melalui Majlis Mineral Negara (MMN) sebagai platform rasmi antara Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri pengeluar.
Lebih daripada itu, jelasnya, Persekutuan pada 19 Ogos lalu menegaskan Malaysia tidak pernah menawarkan pengeksportan mentah REE sebagai timbal balas dalam rundingan tarif perdagangan dan tidak pernah memberi komitmen membekalkan REE secara eksklusif kepada mana-mana negara, termasuk AS.
“Namun, kandungan perjanjian yang kini dimeterai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden AS, Donald Trump bercanggah sepenuhnya dengan kenyataan Menteri sendiri.
“Malaysia telah memberi komitmen untuk tidak mengenakan sekatan eksport kepada syarikat-syarikat AS, sedangkan perkara ini tidak pernah dirunding bersama kerajaan negeri Terengganu.
“Tindakan ini merupakan pelanggaran nyata terhadap semangat federalisme dan prinsip keadilan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, hakikat bahawa Kerajaan Persekutuan berani menandatangani perjanjian yang menyentuh sumber negeri tanpa sebarang libat urus membuktikan betapa hak Terengganu telah dicabuli secara terang-terangan.
Jelasnya, langkah itu dilihat sebagai sambungan kepada pola lama penafian hak negeri, sepertimana yang pernah berlaku dalam isu royalti petroleum.
“Dahulu hasil minyak Terengganu dinafikan, kini hasil nadir bumi pula digadai tanpa suara negeri,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Harun berkata, pihaknya menuntut penjelasan segera daripada Anwar sama ada MMN bersidang sebelum perjanjian itu ditandatangani.
Ujarnya, Anwar juga perlu menjelaskan sama ada Kerajaan Negeri Terengganu dimaklumkan atau diberi ruang untuk menyatakan pendirian berhubung perjanjian melibatkan REE tersebut.
“Jika tidak, maka tindakan ini bukan sahaja satu pengkhianatan terhadap semangat Persekutuan, malah satu bentuk pencabulan terhadap kedaulatan negeri dan hak rakyat Terengganu,” katanya.
Tegas beliau, REE bukan milik Putrajaya, tetapi milik rakyat dan kerajaan negeri Terengganu yang sah di sisi Perlembagaan, justeru Persekutuan tidak berhak membuat sebarang komitmen antarabangsa yang melibatkan hasil bumi negeri tanpa persetujuan rasmi daripada kerajaan negeri. – MalaysiaGazette
















