Petugas ladang membuat kerja-kerja mengambil buah sawit di Ladang FGV Moakil 07, Segamat, Johor. Foto FAREEZ FADZIL, 25 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Sabah menjadi negeri pengeluar minyak sawit mentah (MSM) terbesar di Malaysia dengan kadar pengeluarannya sebanyak 4.27 juta tan pada 2024, menurut Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

Menerusi jawapan bertulis di portal Dewan Rakyat hari ini, kementerian itu memaklumkan jumlah berkenaan mewakili 22.1 peratus daripada jumlah pengeluaran MSM di Malaysia.

“Negeri ini juga mempunyai keluasan tanaman sawit lebih 1.48 juta hektar, bersamaan kira-kira 26.43 peratus daripada jumlah keluasan sawit di Malaysia dengan 129 buah kilang kelapa sawit beroperasi di seluruh negeri,” kata KPK.

Kementerian berkenaan menjawab soalan Datuk Suhaimi Nasir (BN-Libaran) mengenai usaha kerajaan memperkukuh industri hiliran sawit supaya Sabah tidak hanya bergantung kepada eksport MSM.

Menurut KPK, kerajaan sentiasa berusaha mengurangkan kebergantungan berterusan kepada eksport MSM yang tidak mampan dalam jangka masa panjang.

“Pendekatan ini bukan sahaja bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada eksport MSM semata-mata, malah mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat tempatan.

Kerajaan juga sentiasa komited dalam memperkukuh pembangunan industri hiliran sawit di Sabah khususnya pengeluaran biodiesel bagi menambah nilai kepada sektor agrikomoditi negara.

“Pada ketika ini, terdapat tiga buah kilang pengeluar biodiesel yang berlesen di Sabah iaitu Genting Biorefinery Sdn Bhd, SPC Biodiesel Sdn Bhd dan Green Edible Oil Sdn Bhd dengan jumlah kapasiti pengeluaran sebanyak 400,000 tan biodiesel setahun.

“Industri biodiesel sawit di Sabah turut mewujudkan kira-kira 160 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat melalui penubuhan ketiga-tiga buah kilang biodiesel tersebut,” kata kementerian itu. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast