BANGI – Tindakan saman fitnah RM10 juta terhadap seorang pengguna Facebook yang mendakwa kerajaan menutup sekolah pondok di Kelantan dan Kedah menunjukkan kerajaan tidak akan berkompromi dalam mempertahankan institusi pendidikan Islam tradisi di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, tuduhan tersebut bukan sekadar tidak benar, malah cuba merosakkan imej kerajaan dalam menjaga kepentingan sekolah pondok.
“Jadi, apa yang telah dituduh oleh individu berkenaan langsung tidak berasas.
“Saya ingatkan perkara yang serius ini tidak boleh dibuat main dan sebab itulah tindakan diambil oleh saya untuk memulakan tindakan saman terhadap individu tersebut,” katanya.
Mohd Na’im berkata demikian kepada media selepas menghadiri penyerahan sumbangan wakaf Smart Board kepada Yayasan Bangi Bandar Ilmu bagi pelaksanaan modul mini tahfiz di Kompleks Pendidikan Islam Bangi, hari ini.
Semalam, Mohd Na’im berkata, tindakan saman itu dibuat terhadap Hafiz Sahidi kerana didapati membuat kenyataan palsu berhubung penutupan sekolah pondok di Kelantan dan Kedah.
Dalam surat tuntutan yang dikeluarkan firma guaman Akberdin & Co kepada Hafiz, peguam Mohd Na’im menyatakan hantaran media sosial yang menuduh menteri itu mengarahkan sekolah pondok tidak berdaftar ditutup adalah palsu, berniat jahat dan berunsur fitnah.
Dalam perkembangan sama, Mohd Na’im berkata, pihaknya turut membuat laporan polis bagi memastikan siasatan terhadap individu terbabit dapat dijalankan dengan adil mengikut undang-undang.
Beliau turut menegaskan, penyebaran fitnah yang menyentuh hal institusi Islam tidak boleh dibiarkan kerana ia boleh menggugat keyakinan masyarakat terhadap usaha kerajaan memperkukuh pendidikan agama.
“Saya harap kepada semua pihak untuk memastikan sebelum kita membuat sebarang kenyataan, kita kena pastikan terlebih dahulu kesahihan dan keabsahan kenyataan yang kita buat,” tegasnya.
Tegas beliau, menuduh kerajaan tidak serius mempertahankan sekolah pondok adalah satu dakwaan yang sangat melampau.
Menurutnya, tindakan itu jelas membuktikan tuduhan tersebut adalah fitnah kepada kerajaan sedangkan perkara berkenaan menjadi fokus utama dalam pentadbiran negara.
“Kalau kita buat tak betul kemudian kita mengerdik dan membuat satu anggapan bahawa kerajaan tidak serius dalam pertahankan institusi pondok, ini merupakan satu fitnah,” jelas beliau.
Mohd Na’im berharap tindakan undang-undang yang diambil menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak agar lebih bertanggungjawab dalam membuat kenyataan khususnya di media sosial yang mudah mempengaruhi persepsi rakyat.
“Saya harap dengan laporan polis dan tindakan saman sivil yang kita buat ini akan menjadi pengajaran dan semua pihak akan lebih berhati-hati pada masa hadapan,” katanya.
Dalam hantarannya di Facebook, Hafiz dilaporkan mengkritik Mohd Na’im kerana didakwa menutup sekolah-sekolah pondok sambil mengabaikan isu-isu serius di sekolah kebangsaan, seperti kes rogol, bunuh, buli dan pengambilan alkohol. – MalaysiaGazette
















