ISKANDAR PUTERI – Polis berjaya menyelesaikan kes curi motosikal dan pecah rumah di kawasan Tanjung Kupang dan Gelang Patah, di sini, selepas menahan tiga lelaki pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, mereka merupakan ahli kumpulan curi motosikal dan pecah rumah yang ditahan di kawasan Kangkar Pulai di sini pukul 7.30 petang.
“Mereka yang ditahan itu berusia antara 20 hingga 34 tahun terbabit kes curi motosikal dan pecah rumah. Hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pihaknya membuat rampasan sebuah rangka motosikal, sebuah motosikal jenis Yamaha MX King T150, satu cover set Yamaha yang sudah dileraikan dan dua batang ekzos motosikal Yamaha.
Selain itu ujarnya, turut dirampas masing-masing sebuah tablet, telefon bimbit, jam tangan dan beg kecil selain dua anting-anting serta empat cincin yang kedua-duanya warna kekuningan.
Katanya, nilai anggaran rampasan RM5,000 dan dengan tertangkapnya suspek pihaknya berjaya menyelesaikan Dua kes curi motosikal di Tanjung Kupang dan satu kes pecah rumah di Gelang Patah.
Beliau memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 411 dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette















