KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berkenan menerima mengadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam sesi mengadap tersebut, Seri Paduka Baginda dipersembahkan mengenai hasil Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan mesyuarat Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di ibu negara minggu lalu.
Persidangan ASEAN ke-47 merupakan sidang yang merupakan simbol perpaduan dan identiti bersama antara negara Asia Tenggara.
Anwar sebelum ini memaklumkan, sepanjang tiga hari persidangan, para pemimpin mencapai pelbagai hasil penting daripada kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai Negara Anggota ASEAN ke-11, sehinggalah kepada pengukuhan kerjasama strategik dan ekonomi yang lebih mampan.
Katanya, Malaysia terus berperanan sebagai pemacu utama dalam memperkukuh dialog, memperjuang keamanan, serta menjulang semangat keterangkuman dan kesejahteraan rantau ini. – MalaysiaGazette















