KUALA LUMPUR – Negara-negara ASEAN buat pertama kali akan mengadakan siri latihan maritim di perairan Laut China Selatan dalam usaha memperkukuh kerjasama keselamatan serantau.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, latihan tersebut akan dilaksanakan bersama China dan negara-negara ASEAN menerusi pendekatan kerjasama kolektif.
Jelas beliau beliau, langkah tersebut dibuat selepas beliau mengadakan lawatan rasmi ke China baru-baru ini yang turut disertai pertemuan dua hala.
“Latihan maritim, sama ada dengan China atau mana-mana negara lain, merupakan inisiatif ASEAN yang menzahirkan pendekatan neutral dan berkecuali.
“ASEAN berpegang teguh bahawa rantau ini harus kekal aman serta mempunyai kebebasan pelayaran bagi semua pihak.
‘Justeru latihan maritim pertama antara ASEAN dan China, yang mencerminkan komitmen bersama ke arah keamanan, kestabilan dan persefahaman di rantau Asia Tenggara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri raptai dan meninjau persiapan akhir ADMM dab ADMM-Plus di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim bin Ali.
ADMM dan ADMM-Plus kali ini akan menjadi antara yang paling signifikan sejak penubuhannya pada 2006 di mana sebanyak 20 inisiatif akan dipacu.
Ia menggambarkan komitmen Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 untuk memperkukuh kepercayaan, ketelusan dan kerjasama keselamatan di rantau Asia Tenggara selaras prinsip ASEAN yang menolak konfrontasi dan menekankan dialog serta persefahaman bersama.
Selain itu, semua 11 negara anggota ASEAN termasuk Timor-Leste yang baharu diterima sebagai anggota penuh mengesahkan kehadiran pada mesyuarat yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Pada masa sama, lapan negara rakan dialog Plus iaitu Amerika Syarikat, Russia, Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand turut mengesahkan kehadiran. – MalaysiaGazette
















