TRAGEDI yang melibatkan pelajar sekolah mutakhir ini menggemparkan seluruh negara. Ia bukan sekadar kes jenayah tetapi cerminan retaknya nilai kemanusiaan dalam kalangan generasi muda. Di sekolah, tempat yang seharusnya menjadi taman ilmu dan kasih, kini tumpah darah dan air mata.
Persoalannya, di mana hilangnya empati dalam jiwa pelajar kita? Apakah pendidikan hari ini terlalu menekankan pencapaian akal hingga menenggelamkan didikan hati? Fenomena ini bukan baharu. Di media sosial, kita sering disajikan dengan video pergaduhan, ejekan, dan penghinaan antara pelajar seolah-olah rasa hormat dan belas telah menjadi barang asing. Anak-anak muda hari ini semakin celik teknologi, tetapi semakin kabur terhadap nilai kemanusiaan.
Empati: Nadi kehidupan kian lesu
Empati ialah kemampuan memahami dan merasai perasaan orang lain, serta bertindak dengan penuh belas dan tanggungjawab. Ia adalah keupayaan yang menjadikan manusia saling berhubung dan berperikemanusiaan. Apabila empati hilang, manusia tidak lagi melihat kesakitan orang lain sebagai penderitaannya sendiri. Maka lahirlah sikap kasar, kejam dan tidak peduli seolah-olah hati telah membatu.
Pendidikan moden kini melahirkan ramai pelajar cerdas akal tetapi miskin rasa. Mereka mahir berdebat, tetapi gagal menahan marah. Mereka mampu menghafal teori, tetapi tidak tahu menghargai perasaan. Ini bukan kegagalan sistem semata-mata, tetapi kegagalan kolektif kita semua terlalu sibuk mengejar pencapaian, hingga lupa membina kemanusiaan.
Pandangan Barat: Empati asas keseimbangan emosi
Ahli psikologi Barat seperti Daniel Goleman (1995), pengasas konsep Emotional Intelligence (EQ), menegaskan bahawa empati ialah salah satu teras utama kecerdasan emosi. Individu yang memiliki empati dapat mengenal pasti emosi orang lain, menilai kesan tindakan sendiri, dan berhubung dengan lebih harmoni.
Tanpa empati, manusia cenderung menjadi agresif, narsistik dan tidak bertanggungjawab. Kajian oleh Carl Rogers, tokoh terapi humanistik, pula menjelaskan bahawa empati adalah syarat utama dalam membina hubungan sejati ia menjadikan seseorang mampu memahami dunia dalaman individu lain tanpa menghukum.
Kajian pendidikan di Barat turut menunjukkan bahawa pelajar yang dibimbing dengan nilai empati menunjukkan disiplin lebih baik, kurang terlibat dalam buli, dan lebih sejahtera secara mental. Maka jelaslah bahawa empati bukan sekadar kelembutan, tetapi kekuatan kekuatan emosi yang menstabilkan peradaban.
Pandangan Islam: Empati itu iman yang hidup
Namun, jauh sebelum teori psikologi moden wujud, Islam telah meletakkan empati sebagai asas keimanan. asulullah SAW bersabda: “Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri” (Riwayat Bukhari & Muslim).
Hadis ini membuktikan bahawa kasih dan belas terhadap sesama manusia adalah cerminan iman yang hidup.Seorang Muslim yang benar akan berasa pedih melihat penderitaan orang lain dan tidak akan tenang menyakiti sesama makhluk. Islam tidak hanya mengajar kita memahami, tetapi juga bertindak dengan ihsan berbuat baik semata-mata kerana Allah melihat, bukan kerana manusia menilai.
Empati dalam Islam bukan sekadar simpati, tetapi keinsafan rohani yang melahirkan tindakan penuh kasih. Inilah yang perlu disemai dalam jiwa pelajar bahawa menjadi manusia bukan sekadar berfikir dengan akal, tetapi juga merasa dengan hati yang tunduk kepada nilai kasih Ilahi.
Sekolah sebagai tapak menyemai rasa
Sekolah harus menjadi tanah subur yang menanam benih empati. Guru bukan sekadar pengajar kandungan, tetapi pembimbing jiwa. Pelajar perlu melihat bahawa setiap insan di sekeliling mereka membawa kisah dan perjuangan yang berbeza rakan yang pendiam mungkin menanggung derita; murid yang sering marah mungkin menyorok luka.
Program seperti khidmat masyarakat, bimbingan rakan sebaya, dan aktiviti sukarelawan harus dijadikan agenda tetap pendidikan. Melalui pengalaman membantu dan mendengar, pelajar akan belajar erti memahami. Empati tidak lahir daripada buku teks, tetapi daripada pertemuan antara hati dengan realiti. Kurikulum masa depan wajar menyeimbangkan kecemerlangan akademik dengan kecerdasan emosi. Guru-guru boleh memupuk nilai ini dalam setiap mata pelajaran kerana empati boleh diajar dalam kelas sains, sejarah, mahupun matematik, jika guru mengajar dengan hati.
Keluarga: Madrasah cinta pertama
Sebelum empati dipupuk di sekolah, ia harus tumbuh di rumah. Keluarga ialah madrasah cinta pertama di mana anak belajar meniru bahasa kasih, sabar, dan belas.Apabila ibu bapa menghormati pandangan anak, mendengar dengan sabar, dan menzahirkan kasih secara konsisten, anak akan belajar bahawa kelembutan itu kekuatan.
Sebaliknya, apabila rumah dipenuhi kemarahan, perbandingan dan sindiran, anak akan belajar bahawa kejam itu normal.Empati bermula daripada cara kita bercakap dan mendengar. Setiap kali anak meluahkan rasa, berhentilah untuk benar-benar memahami bukan untuk menasihati semata-mata.Kerana hati yang difahami lebih mudah dibentuk daripada hati yang hanya didengar separuh jalan.
Teknologi dan dunia tanpa rasa
Ironinya, dunia digital yang kononnya menyatukan manusia kini menjauhkan hati manusia daripada rasa. Pelajar hari ini hidup dalam dunia maya yang pantas, tetapi dingin. Mereka tahu berinteraksi melalui skrin, tetapi hilang keupayaan menatap dan memahami wajah sebenar manusia di depan mata.
Budaya scroll, like, dan share menggantikan budaya care dan listen (mendengar). Ketagihan terhadap perhatian maya menjadikan ramai remaja terlalu sensitif terhadap penilaian orang lain, tetapi tidak peka terhadap perasaan orang lain.Kita perlu mendidik generasi digital ini bukan sahaja untuk celik teknologi, tetapi juga celik hati. Kerana dunia yang terlalu laju tanpa empati hanya akan melahirkan manusia yang kesepian di tengah keramaian maya.
Didik hati sebelum mengajar akal
Ilmu yang tidak dibimbing oleh hati akan menjadi senjata yang membunuh nilai. Kita perlu menanamkan kesedaran bahawa kecemerlangan sebenar bukan pada markah, tetapi pada keupayaan untuk memahami dan menghormati kehidupan.Empati harus dijadikan asas pendidikan bagaimana mengawal kemarahan, bagaimana memahami orang lain, dan bagaimana menzahirkan kasih sayang melalui tindakan.Apabila pelajar mampu merasai, mereka akan lebih menghargai.Dan apabila mereka belajar menghargai, mereka tidak akan tergamak menyakiti.
Barat dan Islam: Dua arah, satu nilai
Dari perspektif Barat, empati ialah asas kepada kesejahteraan psikologi. Dari perspektif Islam, empati ialah cerminan kepada iman dan akhlak mulia. Kedua-duanya akhirnya bertemu pada satu titik yang sama empati ialah jiwa kemanusiaan.
Dunia moden memerlukan keseimbangan antara rasional dan rohani. Sains mengajar kita mengapa empati penting; iman mengajar kita bagaimana ia harus dihidupkan. Apabila dua nilai ini berpadu, lahirlah manusia yang bukan sahaja cerdas akal, tetapi juga mulia hati.
Kembali jadi manusia
Tragedi yang berlaku harus menjadi cermin kepada seluruh sistem pendidikan dan masyarakat. Kita sedang berdepan dengan generasi yang tahu segalanya, tetapi gagal merasai apa-apa.
Empati bukan kelemahan. Ia kekuatan yang menjadikan manusia saling memahami, memaafkan, dan menghargai kehidupan. Kita perlu kembali mendidik dengan kasih, bukan dengan ketakutan; dengan teladan, bukan dengan amarah. Kerana pada akhirnya, kejayaan sebenar bukan pada bilangan sijil yang digenggam, tetapi pada berapa banyak hati yang disentuh dan disembuhkan.
“Empati bukan sekadar memahami perasaan orang lain, tetapi berusaha agar orang lain tidak lagi perlu menanggung kesakitan yang sama”.

Prof Madya Dr. Mohd Norazwan A. Bakar,
Pensyarah Kanan,
Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial, Universiti Selangor
















