Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar

SEPANG Rakyat disarankan agar berhati-hati dengan mana-mana pihak atau syarikat yang menawarkan pakej haji tanpa kebenaran daripada Lembaga Tabung Haji (TH).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menegaskan, hanya syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilesenkan oleh TH dibenarkan menguruskan urusan haji rakyat Malaysia.

“Tabung Haji tidak pernah melantik individu untuk mengurus urusan haji. Hanya syarikat yang mendapat kebenaran rasmi dibenarkan menjalankan perkhidmatan ini,” katanya selepas Majlis Penyerahan Lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) Musim 1447H di sini hari ini.

Menurut Mohd Nai’m, satu jawatankuasa khas telah dibentuk dan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memperkukuh tindakan terhadap penipuan berkaitan haji dengan penyertaan TH dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Tabung Haji pun ada di situ, MOTAC pun ada di situ, jadi jawatankuasa khas ini yang akan memastikan mana-mana syarikat dan individu yang cuba untuk lakukan penipuan.

“Jawatankuasa khas ini yang akan ambil tindakan,” katanya.

Mohd Na’im berkata, kerajaan memandang serius isu penipuan haji yang sering berlaku menjelang musim haji dan langkah memperketat denda serta hukuman sedang diteliti bagi mengekang kegiatan itu.

Pendekatan itu termasuklah memastikan supaya denda yang diberikan kepada syarikat yang tak bertanggungjawab itu akan lebih tinggi. Tapi itu kuasa mahkamah untuk menentukan,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, kebanyakan syarikat yang menipu jemaah bukan dalam kalangan PJH yang diiktiraf TH sebaliknya menggunakan lesen pelancongan atau umrah di bawah MOTAC untuk memperdaya orang ramai.

Terdahulu, Mohd Na’im menyampaikan lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) Musim 1447H kepada 31 daripada 60 syarikat yang memohon. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast