Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kadar jangkitan influenza di negara ini menunjukkan trend penurunan pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-43 tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk  Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pemantauan melalui kadar konsultasi penyakit Influenza-Like Illnesses (ILI) dan kadar kemasukan kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI) menunjukkan kedua-duanya mencatatkan penurunan berbanding minggu sebelumnya.

“Untuk ILI, minggu epid ke-42 adalah 9.68 peratus, tetapi minggu epid ke-43 menurun kepada 8.18 peratus menunjukkan trend menurun.

“Bagi SARI pula, minggu epid ke-42 adalah 10.56 peratus, sementara minggu ke-43 sedikit menurun kepada 10.45 peratus,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Peralatan Centre of Excellence (CoE) Hospital Rehabilitasi Cheras di sini hari ini.

Menurut Dr Dzulkefly, sebanyak 30 wabak influenza dilaporkan pada ME 43/2025 menurun sebanyak 86.1 peratus berbanding 216 wabak yang direkodkan pada ME 41/2025.

Daripada segi pengesanan virus, Influenza A (H3) kekal sebagai strain dominan dengan kadar 26.7 peratus, diikuti Influenza A (H1N1) sebanyak 0.6 peratus, manakala Influenza B tidak dikesan. Virus SARS-CoV-2 pula mencatatkan kadar 0.4 peratus.

“Walaupun terdapat tanda penurunan kes, ia bukan alasan untuk masyarakat leka kerana virus masih menular dalam komuniti.

“Orang ramai dinasihatkan supaya terus mengamalkan kawalan kendiri pada tahap tinggi bagi melindungi diri dan keluarga, “ katanya.

Ibu bapa turut dinasihatkan agar segera membawa anak ke hospital atau klinik berdekatan sekiranya menunjukkan gejala membimbangkan seperti lemah, lesu, tidak mahu makan atau minum.

Ia termasuk terlalu mengantuk, tidak aktif, mengalami kesukaran bernafas, sawan, bibir atau jari kebiruan serta demam berpanjangan yang tidak kebah selepas beberapa hari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast