Ketika ini tumpuan kerja dialihkan kepada usaha penstabilan cerun yang dijalankan kontraktor JKR Pulau Pinang.

BALIK PULAU – Kerja-kerja pembersihan dan pemecahan batu di sepanjang Jalan Tun Sardon di sini terpaksa dihentikan sementara bagi memastikan keselamatan petugas dan pengguna jalan raya susulan hujan lebat sejak awal pagi ini.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, ketika ini tumpuan kerja dialihkan kepada usaha penstabilan cerun yang dijalankan secara berhati-hati oleh kontraktor Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang.

Menurutnya, langkah itu termasuk pemasangan kanvas pelindung bagi mengelakkan air hujan terus menghakis tanah dan mengakibatkan pergerakan tanah di kawasan berisiko.

“Pihak kontraktor JKR meneruskan kerja pembersihan runtuhan, pemecahan batu dan pengalihan penghalang termasuk dahan pokok di sepanjang laluan berkenaan.

“Batuan serta pokok yang menghalang jalan di lokasi runtuhan kritikal sudah dialihkan sehingga tengah malam tadi, namun masih banyak batuan lain yang perlu dibersihkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Zairil Khir, aktiviti pemecahan batu bersaiz besar dan pembersihan keseluruhan laluan hanya akan disambung selepas keadaan cuaca kembali baik.

“Status pembukaan semula laluan P14 Jalan Tun Sardon akan dimaklumkan selepas kerja pembersihan selesai,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, laluan utama yang menghubungkan Paya Terubong dengan Balik Pulau itu ditutup sepenuhnya sejak 24 Oktober lalu berikutan kejadian runtuhan cerun dan pokok tumbang kira-kira pukul 5 petang.

Zairil menjelaskan, siasatan mendapati kegagalan cerun kritikal di Kilometer 5.10 berpunca daripada hujan lebat serta tiupan angin kuat.

Kawasan terjejas merekodkan satu kejadian runtuhan cerun kritikal, 15 cerun terbuka, tujuh pokok tumbang, empat jatuhan batu dan satu kes mendapan jalan.

“Beberapa bahagian lain di sepanjang laluan turut mengalami kejadian pokok tumbang serta kejatuhan batu besar berdiameter sehingga lima kaki,” katanya.

Sementara itu, JKR dalam notis berasingan memaklumkan penutupan penuh Jalan Tun Sardon dilanjutkan sehingga jam 6 petang esok (31 Oktober) bagi memberi laluan kepada kerja pemulihan cerun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast