Misi kemanusiaan anjuran Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) dengan kerjasama Nestlé Malaysia dan Yayasan Yara.

KUALA LUMPUR –  Seramai 180 ketua isi rumah terdiri daripada nelayan dan penduduk pulau yang tinggal jauh daripada tanah besar menerima bantuan makanan melalui Misi Bantuan Kemanusiaan Susur Pulau 2025 bermula 26 hingga 28 Oktober.

Misi kemanusiaan anjuran Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) dengan kerjasama Nestlé Malaysia dan Yayasan Yara merangkumi empat pulau utama di daerah Mersing iaitu Pulau Pemanggil, Pulau Aur, Pulau Tinggi dan Pulau Sibu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif YFBM, Johan Halid, program itu merupakan usaha berterusan pihaknya bagi  memastikan komuniti pedalaman dan pulau terpencil tidak terputus bekalan makanan sewaktu musim hujan.

“Apabila musim tengkujuh tiba, keadaan laut yang bergelora menyebabkan penduduk pulau sukar ke tanah besar untuk mendapatkan keperluan asas.

“Misi ini menjadi langkah awal bagi memastikan setiap keluarga mempunyai bekalan mencukupi untuk dua bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, misi itu turut mendapat sokongan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang membantu penyelarasan logistik laut.

Ia diketuai oleh Komander (M) Suhaizan Saadin, Pengarah Zon Maritim Mersing, manakala Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyumbang bantuan logistik darat.

Turut serta dalam misi adalah Ahli Lembaga Pemegang Amanah YFBM, Datuk Ahmad ‘Asri Abdul Hamid serta 19 sukarelawan yayasan turut menyantuni komuniti tempatan sambil menyerahkan bantuan makanan kering.

Beliau turut memaklumkan, misi itu merupakan inisiatif tahunan yang bukan sahaja menyalurkan bantuan makanan tetapi juga memperkukuh semangat solidariti rakyat  melalui kerjasama antara sektor awam, korporat dan sukarelawan bagi membantu komuniti terpencil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast