KUANTAN – Kerajaan Pahang akan berusaha mencari penyelesaian bagi merancakkan kembali Pasar Besar Kuantan di sini selepas proses menaik taraf bangunan itu siap Mei lalu.
Ia kerana pasar tersebut tidak lagi semeriah sebelum ini dan pengunjung semakin berkurangan berbanding pasar sementara yang ditempatkan di kawasan parkir luar bangunan berkenaan.
Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Dr Sim Chon Siang berkata, pasar tesebut sudah mula digunakan sejak lima bulan lalu namun tidak mendapat sambutan membuatkan sumber pendapatan peniaga semakin terjejas.
“Kena cari cara untuk menaikkan kembali kemeriahan pasar besar. Kita harap pelanggan kembali ke pasar besar sebab lama sangat mereka tidak masuk sini selepas dinaik taraf,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan pemantauan operasi perniagaan di Pasar Besar Kuantan di sini hari ini.
Chon Siang turut menepis dakwaan kerajaan negeri dalam melindungi warga asing menjalankan perniagaan tanpa lesen sah di negeri ini kerana pemantauan sentiasa dilakukan.
Malah tindakan tegas dikenakan terhadap warga asing yang didapati melakukan kesalahan.
Menurutnya tindakan penguatkuasaan terhadap peniaga warga asing di Medan Warisan dan Jalan Bukit Ubi di sini yang berniaga tanpa lesen sah termasuk di sekitar luar daerah ini sudah dilakukan.
Selain itu, tindakan turut diambil jika warga asing dikesan menggunakan lesen rakyat tempatan untuk menjalankan perniagaan di sini.
“Boleh ambil pekerja warga asing tetapi pekerja yang duduk di kaunter perlulah orang tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, tinjauan mendapati peniaga di pasar berkenaan rasa kecewa dengan kehadiran pengunjung ke pasar berkenaan sejak Mei lalu.
“Pasar sudah cantik tapi pelanggan kurang dan makin kurang kemeriahan. Dulu ketika di luar, orang tak beli pun tapi orang suka berjalan nampak meriah.
“Pembeli suka nampak crowd, dulu buka berniaga dekat luar hampir setahun semasa sesi penaiktarafan ramai lagi pelanggan,” kata salah seorang peniaga.
Keadaan di Pasar Besar Kuantan kini kelihatan bersih dan selesa selain dilihat tersusun namun keadaannya nampak lengang ketika tinjauan dibuat jika dibandingkan dengan keadaan pasar yang selalunya sesak. – MalaysiaGazette
















