KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa sesi Pertanyaan Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini tidak memberi ruang adil kepada wakil pembangkang untuk mendapatkan penjelasan berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Amerika Syarikat (AS).
Menurut beliau, sesi yang sepatutnya menjadi medan untuk Perdana Menteri menjawab persoalan berhubung isu penting itu sebaliknya bertukar menjadi platform memuji kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kalau dah takut sangat, baik tak payah panggil PMQT! Sesi PMQT hari ini kononnya nak jawab isu perjanjian perdagangan Malaysia dan Amerika, kami pun menunggu dengan penuh teruja nak tanya PM, tapi rupa-rupanya macam pentas tepuk tangan untuk Perdana Menteri sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Awal pagi ini, Anwar yang menjawab di sesi PMQT berkata Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART 2025) yang ditandatangani antara Malaysia dan AS mempunyai klausa yang membolehkan negara menamatkan atau menarik diri secara sah.
Penjelasan itu dibuat Perdana Menteri susulan pelbagai dakwaan mengaitkan Malaysia terikat dengan AS melalui pemeteraian perjanjian terbabit.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, klausa terbabit turut diberi penekanan serius oleh Jemaah Menteri.
Jelas Fadhli, soalan pertama sesi itu diberikan kepada Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan bin Kaiat yang juga daripada blok kerajaan dan sudah tentu diberi keutamaan untuk bertanya soalan tambahan pertama.
“Soalan kedua Muar, juga dari kerajaan, siap puji Perdana Menteri lagi. Soalan ketiga Ledang, pun dari kerajaan,” katanya.
Tambahnya, hanya pada soalan keempat yang dikemukakan oleh pembangkang barulah muncul pertanyaan sebenar yang menyentuh isi kandungan perjanjian tersebut.
“Yang keempat barulah diberikan kepada Machang, barulah ada soalan sebenar bukan soalan bodek,” katanya.
Fadhli mendakwa ketika menjawab soalan itu, Perdana Menteri dilihat tidak bersedia dan gagal memberi penjelasan meyakinkan mengenai isi perjanjian perdagangan tersebut.
“Dan masa itulah baru kita nampak Perdana Menteri tergagap-gagap nak jawab. Machang tanya satu persatu tentang kandungan perjanjian, tak ada satu pun jawapan konkrit. Macam mana nak jawab kalau isi perjanjian pun sendiri tak faham?” katanya.
Beliau turut menyindir konsep ketelusan yang sering dilaungkan kerajaan pimpinan Anwar apabila mendapati sesi PMQT tersebut tidak menampakkan ciri terbuka seperti dijanjikan.
“Kalau beginilah rupa ‘ketelusan’ kerajaan dalam PMQ, nampak gayanya perjanjian ini hanya difahami oleh pihak AS yang kita pula cuma sebatang pen dan naik kereta bersama Presiden AS,” katanya. – MalaysiaGazette
















