Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

SEPANG – Syarat permohonan untuk menunaikan haji masih kekal berdasarkan prinsip ‘siapa daftar dulu, dia didahulukan’, jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata, dasar sedia ada itu menegakkan keadilan kepada semua pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) dengan memberi peluang menunaikan ibadah haji mengikut giliran pendaftaran masing-masing.

Bagaimanapun, Mohd Na’im mengakui kerajaan memahami kebimbangan yang dibangkitkan mengenai warga emas yang terpaksa menunggu terlalu lama sebelum mendapat giliran menunaikan haji.

Saya faham tentang isu usia tersebut tetapi mungkin usul yang dibawa oleh ahli-ahli Parlimen itu akan dibincangkan dan diberikan pertimbangan yang boleh oleh Tabung Haji,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan beberapa Ahli Parlimen supaya TH mempertimbangkan pemberian kelayakan automatik kepada individu berumur 60 tahun ke atas untuk menunaikan haji melalui pakej muassasah.

Sebelum itu, nenurut Ahli Parlimen Kapar, Dr. Halimah Ali, sistem pendaftaran haji ketika ini menyebabkan warga emas yang tidak tersenarai dalam giliran tahun semasa perlu membuat rayuan, dan jika diluluskan, mereka perlu membayar kos penuh haji sebanyak RM33,300.

Dalam pada itu, Mohd Na’im menjelaskan, cadangan supaya had umur 60 tahun dilayakkan secara automatik akan diteliti dan dibincangkan oleh pihak berkaitan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Yang itu akan dimasukkan dalam perbincangan berhubungan Tabung Haji,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai syarat ketat oleh Kerajaan Arab Saudi terhadap bakal jemaah, Mohd Na’im berkata, penetapan tersebut bertujuan memastikan keselamatan dan kebajikan jemaah haji sentiasa terjamin.

Sebagai kerajaan, dia ada satu kaedah disebut tindakan pemerintah bertanggungjawab berdasarkan kepada kebajikan dan kepentingan rakyat. Sekarang Arab Saudi menetapkan kesihatan yang baik sebelum mana-mana jemaah haji yang berhasrat untuk menunaikan haji,” jelasnya.

Antara syarat yang perlu dipatuhi untuk memperoleh visa adalah bebas daripada penyakit berjangkit, penyakit serius atau penyakit kronik tidak terkawal dan berupaya menjalankan ibadat haji sendiri.

Mohd Na’im turut menegaskan ibadah haji berasaskan kepada kemampuan dari segi kewangan, kesihatan dan keupayaan fizikal untuk melaksanakan rukun haji dengan sempurna.

Kita pun sedia maklum bahawa kewajipan haji ini didasarkan kepada kemampuan — daripada sudut kewangannya, kesihatannya dan juga kemampuan menempuh kota haji itu,” katanya.

Menurut Mohd Na’im, ketetapan itu wajar difahami kerana setiap tahun terdapat kes jemaah haji meninggal dunia di Tanah Suci dan kerajaan Arab Saudi berusaha meminimumkan kejadian tersebut.

Sebagai sebuah kerajaan, Arab Saudi akan cuba cari jalan untuk mengurangkan ataupun meminimumkan jemaah-jemaah haji yang meninggal dunia ketika menunaikan haji,” ujarnya.

Tahun ini, sebanyak 31 syarikat telah diluluskan dan layak dilesenkan untuk beroperasi sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi musim haji 1447H, termasuk TH Travel & Services Sdn. Bhd. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast