Najib Razak

PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, tadbir urus 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dijalankan secara kucar kacir menyebabkan berbilion dana syarikat pelaburan negara itu mengalir masuk ke tempat lain secara sengaja.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam berhujah, jika pengurusan hal ehwal syarikat dilaksanakan secara ketat mengikut piawaian korporat, Datuk Seri Najib Razak tidak akan didakwa di mahkamah.

Hujah beliau, kes penyelewengan dana 1MDB itu merupakan kes yang pelik dengan mengambil kira kenyataan ketua pasukan pendakwaan ketika itu, mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram.

“Mendiang Sri Ram pernah menyatakan, kes ini pelik kerana 1MDB diuruskan seperti sebuah kedai kopi (tanpa merujuk kepada isu perkauman).

“Jika tadbir urus merupakan perkara yang amat penting, pengunduran Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB ketika itu, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh pada Oktober 2009 sepatutnya menjadi `waking up call‘ untuk meleraikan kekusutan syarikat itu.

“Tan Sri Mohd. Bakke turut menghantar mesej kepada Datuk Seri Najib mengenai peletakan jawatannya namun tidak dibalas tertuduh,” hujah beliau pada akhir kes pembelaan.

Mohamad Mustaffa berhujah pada perbicaraan terhadap Najib yang menghadapi empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Beliau selanjutnya menghujahkan, persoalan mengenai 1MDB termasuk operasinya, tahap hutang dan pelaburannya telah diketahui umum apabila isu mengenainya dibawa masuk ke Parlimen seawal 2010 dan Najib sendiri ditanya mengenai penglibatan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Hujah beliau, bukti kemudian menunjukkan rekod BlackBerry Messenger (BBM) dan keterangan Joanna Yu bahawa Jho Low terlibat secara aktif dalam pengurusan akaun bank peribadi tertuduh.

Ini termasuk urus niaga mengenai RM42 juta pada Disember 2014 dan Februari 2015 yang dinyatakan dalam pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram, yang mana Najib kemudian mendakwa Jho Low memperdayakannya.

“Bagaimana selepas melihat semua ini kita boleh menafikan kesan daripada apa yang dikatakan oleh Jho Low kepada pegawai-pegawai kanan di 1MDB?

“Kami berhujah perkara yang penting untuk diputuskan oleh mahkamah ialah kesan daripada kenyataan yang dibuat oleh Jho Low dan keterangan pihak lain yang mendengarnya serta tindakan yang berlaku selepas itu. Tiada khabar angin berganda seperti yang dihujahkan pihak peguam.

“Bukan Jho Low yang dibicarakan di sini, sebaliknya tertuduh,” hujah beliau.

Najib didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.

Prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast