BUKIT MERTAJAM – Suspek utama warga Nepal dalam kes pembunuhan kejam dua beranak di Kampung Sekolah Juru di sini, pada 18 Oktober lalu disambung reman selama tujuh hari lagi bagi membantu siasatan lanjut.
Turut disambung reman bagi tempoh sama ialah abang kepada suspek utama berusia 40 tahun serta rakannya yang berumur 28 tahun.
Perintah sambungan reman itu dikeluarkan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit terhadap kesemua suspek itu bermula esok hingga 7 November depan bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan kes berkenaan.
Terdahulu, kesemua suspek yang bergari dan memakai baju lokap polis tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9 pagi bagi mendapatkan perintah sambungan reman.
Sementara itu, MalaysiaGazette difahamkan suspek dipercayai membunuh mangsa dan anak angkatnya pada waktu tengah hari, pada 18 Oktober lalu sebelum melarikan diri ke ibu negara pada hari sama.

Difahamkan suspek menaruh hati kepada mangsa selain mendakwa wanita itu berhutang dengannya.
MalaysiaGazette semalam melaporkan, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail mengesahkan dendam motif pembunuhan dua beranak tersebut.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak boleh memperincikan maklumat lanjut kerana siasatan kes masih berjalan selain memaklumkan kertas siasatan lengkap akan diserahkan kepada pihak pendakwa raya dalam masa terdekat.
ARTIKEL BERKAITAN
Dua beradik Nepal antara direman, motif bunuh dua beranak bakal terungkai
Suami dua beranak mati dibunuh direman bantu siasatan polis
Dalam kejadian pada 18 Oktober lalu, Sariya Che Hin, 51, dan anak angkatnya Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, ditemui mati dalam keadaan tragis di rumah sewa mereka di Kampung Sekolah Juru di sini.
Mayat Sariya dijumpai di dapur dengan kepala hampir putus, manakala anaknya ditemui meniarap berlumuran darah di tingkat atas rumah separa kayu berkenaan.
Mayat mereka ditemui oleh suami mangsa sekitar jam 7.30 malam.
Susulan itu, polis menahan tiga lelaki termasuk suami wanita itu bagi membantu siasatan, namun dua daripada mereka dibebaskan dengan jaminan mahkamah pada 25 Oktober lalu. – MalaysiaGazette
















