KUALA LUMPUR – Seramai 30 juta pelancong domestik dan antarabangsa disasarkan untuk melawat ke Kuala Lumpur yang merupakan pintu gerbang ke Malaysia dan nadi pelancongan negara sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, sempena sambutan itu pelbagai acara menarik bakal dianjurkan sepanjang tahun.
Menurutnya, sebanyak 35 acara utama dirancang di bawah Calendar of Events (CoE) 2026, seperti program-program komuniti dan budaya yang berlangsung setiap bulan bermula Januari hingga Disember tahun depan.
“Ini komitmen Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Kementerian Pelancongan, Tourism Malaysia, sektor swasta serta komuniti untuk memperkukuhkan lagi kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab pelancongan bukan sahaja di rantau ASEAN tetapi juga di peringkat global.
“Sasaran 30 juta pelawat itu selaras dengan unjuran kerajaan untuk menarik 46 juta pelancong ke Malaysia pada tahun 2026, sejajar dengan momentum selepas kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini.
“Kita mengambil peluang daripada semangat Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang mengumpulkan pemimpin rantau ini di Kuala Lumpur dan mahu meneruskan momentum itu menuju TMM 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Calendar of Events DBKL 2026 serta Flag-Off Bas Generasi Keempat KL Hop On Hop Off (KL HOHO) sempena kempen TMM 2026 di Mayor Courtyard di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Perancangan Tourism Malaysia, Datin Rafidah Idris serta Ketua Pegawai Eksekutif Elang Wah Sdn Bhd, Syed Azhar Syed Nadzir.
Mengulas lanjut, Maimunah berkata, acara lain yang bakal menjadi tarikan termasuk Festival Orkestra Kuala Lumpur 2025 yang menghimpunkan pemuzik dari pelbagai negara selain pelancaran semula bangunan bersejarah Sultan Abdul Samad pada Januari depan selepas kerja pemuliharaan selesai.
“DBKL turut memperkenalkan pelbagai program bersifat komuniti dalam menerapkan budaya seni dan warisan bersama anak muda dan warga emas menerusi bengkel, Muzik Komuniti, Gema Tradisi Nuansa dan KL River Soul iaitu inisiatif menghidupkan kembali River of Life (RoL) sebagai ruang aktiviti belia dan budaya bandar.
“Kita mahu membawa kembali jiwa ke dalam sungai dan bandar raya dalam menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar yang hidup dan berjiwa, bukan sekadar pusat komersial.
“Selain itu, kita perkenalkan Festival Kuala Lumpur, diilhamkan daripada konsep George Town Festival di Pulau Pinang yang bakal menghimpunkan aktiviti seni, budaya dan warisan di seluruh kawasan warisan Kuala Lumpur seluas 20 kilometer persegi,” ujarnya.
Katanya lagi, bas pelancongan HOHO versi baharu tanpa bumbung dengan sistem audio lebih interaktif juga dilancarkan dalam usaha memperkukuh pengalaman pelancong.
“Kita mahu pengalaman pelancong di Kuala Lumpur setanding dengan kota antarabangsa lain seperti London.
“Dengan bas yang diperberbaharui ciri keselamatan dan teknologinya, pelancong boleh menikmati pemandangan sambil mendengar penerangan dengan lebih jelas,” katanya.
Dari segi persiapan pula, Maimunah berkata, Kuala Lumpur kini bersedia menyambut TMM 2026 dari segi infrastruktur, kebersihan, keselamatan dan pengindahan bandar.
“Kita sudah bersedia, tetapi akan terus memperbaiki aspek infrastruktur, landskap dan pencahayaan bandar raya.
“Saya yakin Kuala Lumpur mampu jadi nadi Asia. Kalau Malaysia Truly Asia, Kuala Lumpur Truly Malaysia,” katanya.
Selain konsert dan persembahan moden, pelbagai acara seni tradisional turut dirancang seperti Kuala Lumpur KL Cool Vibe, KL Cultural Night, Pesta Teater Kuala Lumpur serta persembahan teater warisan seperti Randai, Mek Mulung dan Menora dengan kerjasama Think City, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) serta kolej dan universiti tempatan.
Pada sama, lagu rasmi bertajuk ‘Jom Lepak KL’ yang baru dilancarkan akan dijadikan lagu wajib dalam setiap program DBKL sebagai simbol identiti bandar raya. – MalaysiaGazette
















