Jakim nafi Malaysia kompromi standard halal negara
KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menafikan dakwaan bahawa Malaysia berkompromi terhadap standard halal negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, dakwaan tersebut tidak benar dan boleh menjejaskan reputasi serta integriti Sistem Pensijilan Halal Malaysia yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Jelasnya, Malaysia menerusi Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Bersama Amerika Syarikat tidak sesekali berkompromi terhadap Standard Halal Malaysia.
“Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa Malaysia kekal tegas dalam mempertahankan kedaulatan dan keutuhan standard halal negara.
“Sistem pensijilan halal Malaysia terus menjadi penanda aras global dan diterima pakai oleh banyak negara Islam serta bukan Islam di seluruh dunia.
“Mana-mana badan pensijilan halal luar negara, termasuk dari Amerika Syarikat, tetap tertakluk sepenuhnya kepada prosedur, syariah, dan standard halal Malaysia,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut beliau, Perkara 2.5 dalam perjanjian itu hanya memperuntukkan penggunaan logo halal daripada badan pensijilan yang diiktiraf oleh Jakim bagi tujuan pentadbiran dan kelancaran proses kelulusan.
Namun ujarnya, semua proses pengauditan, pemantauan dan pengesahan akhir berada sepenuhnya di bawah kawalan Jakim.
Manakala, bagi abattoir atau loji sembelihan yang menghasilkan produk daging dan ayam untuk dieksport ke Malaysia, kelulusan halal hanya diberikan selepas melalui pengauditan mengikut Malaysian Standard dan The Malaysian Protocol for Halal Meat & Poultry Production.
“Pengauditan tersebut mesti dilaksanakan dengan kehadiran sekurang-kurangnya dua pegawai Syariah daripada badan pensijilan halal yang diiktiraf, dan laporan audit itu pula akan diperakukan oleh Jawatankuasa yang dilantik oleh Jakim.
“Sebarang badan pensijilan halal luar negara yang ingin mengekalkan status pengiktirafan oleh Jakim mesti mematuhi sepenuhnya semua keperluan Malaysia termasuk aspek syariah, keselamatan, kebersihan dan prosedur audit tanpa sebarang pengecualian,” tambahnya.
Beliau berkata, pengiktirafan terhadap sijil halal dari Amerika Syarikat tidak bermaksud kelonggaran standard halal Malaysia.
Sebaliknya, ia hanya mempercepatkan urusan pentadbiran bagi memperkukuh hubungan perdagangan dua hala, tambahnya.
“Semua produk import tetap tertakluk kepada audit Jakim, pemantauan berkala, serta peruntukan Akta Perihal Dagangan 2011, bagi menjamin integriti dan ketelusan sistem halal negara,” katanya.
Mohd Na’im memberi jaminan bahawa JAKIM sentiasa memastikan standard pensijilan halal Malaysia kekal utuh dan tidak akan dikompromi dalam apa jua keadaan.
Katanya, sebarang penambahbaikan hanyalah bagi mempercepatkan proses pentadbiran, tanpa menjejaskan prinsip dan ketegasan standard halal Malaysia.
“Pengiktirafan mana-mana badan pensijilan luar negara hanya diberikan selepas melalui proses audit menyeluruh yang menilai tahap pematuhan terhadap Standard Halal Malaysia.
“Segala perjanjian antarabangsa yang ditandatangani oleh Malaysia tertakluk kepada pemakaian peraturan sedia ada di dalam negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















