Maimunah melancarkan Bas Hop-On Hop-Off versi reka bentuk yang baharu pada Majlis Pelancaran Kalendar Tahun 2026 di ibu negara, hari ini.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang dalam fasa akhir melaksanakan kajian geoteknikal menyeluruh di kawasan segi tiga emas bagi menilai kestabilan struktur lapisan tanah di kawasan berisiko tinggi di ibu negara.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, kajian tersebut kini dalam peringkat akhir melantik perunding selepas pihaknya menerima peruntukan RM10 juta daripada Kerajaan Persekutuan.

“Kajian ini sedang berjalan. Kita telah menerima dana sebanyak RM10 juta bulan 10 (bulan ini).

“Kini kita dalam proses terakhir melantik konsultan untuk menyediakan kajian itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Calendar of Events DBKL 2026 serta Flag-Off Bas Generasi Keempat KL Hop On Hop Off (KL HOHO) sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) di Mayor Courtyard di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Perancangan Tourism Malaysia, Datin Rafidah Idris serta Ketua Pegawai Eksekutif Elang Wah Sdn Bhd, Syed Azhar Syed Nadzir.

Mengulas lanjut Maimunah berkata, inisiatif itu sebagai tindakan susulan selepas insiden tanah jerlus yang berlaku di kawasan Jalan Masjid India pada Ogos tahun lalu hanya beberapa hari selepas beliau dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur.

“Kajian ini hasil daripada kejadian yang tidak dijangka dan tidak diingini pada minggu pertama saya menjawat jawatan Datuk Bandar.

“Jadi, langkah ini penting bagi mengenal pasti potensi risiko struktur tanah di kawasan strategik bandar raya dan kita tidak mahu insiden sama berulang,” katanya.

Pada 23 Ogos tahun lalu, seorang wanita dikenali G Vijaya Lakshmi berasal dari Andhra Pradesh, India hilang selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter.

Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat dilapor berkata, hasil siasatan pasukan khas diketuai DBKL mendapati, insiden itu bukan berpunca daripada kewujudan lapisan batu kapur di bawah tanah seperti dibimbangi orang ramai.

Sebaliknya beliau berkata, kegagalan struktur paip pembetungan yang mereput akibat tindak balas kimia dan ketidakstabilan tanah dikenal pasti sebagai punca utama kejadian berkenaan.

Tambahnya, DBKL kini melaksanakan kajian geoteknikal di jalan utama sekitar segi tiga emas Kuala Lumpur bagi mengenal pasti profil serta kestabilan tanah menggunakan kaedah seperti Radar Penembusan Tanah (GPR), Pengesanan dan Jarak Cahaya (LiDAR) dan Radar Aperture Sintetik Interferometri (InSAR). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast