PUTRAJAYA – Kerajaan pertimbang cadangan pelaksanaan pengesahan identiti pengguna (eKYC) kepada aplikasi temu janji dalam talian OMI.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu perlu bagi memastikan kanak-kanak tidak terdedah kepada kemudaratan dalam talian, khususnya melalui permainan dan aplikasi digital.
“Kita akan juga pertimbangkan untuk menggunapakai EKYC yang menggunakan dokumen yang diterbitkan oleh pihak kerajaan seperti MyKad, pasport dan MyDigitalID bagi pengesahan umur dan identiti,” katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.
Fahmi berkata demikian bagi mengulas laporan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang diperlakukan secara tidak senonoh oleh seorang lelaki dewasa selepas berkenalan menerusi aplikasi berkenaan.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, kerajaan sedang mengkaji keperluan mewujudkan pelesenan atau pengesahan identiti khususnya melalui permainan dan aplikasi digital.
Beliau berkata, langkah itu diambil berikutan kebimbangan masyarakat terhadap keselamatan kanak-kanak ketika menggunakan pelbagai platform permainan dan aplikasi dalam talian yang semakin mudah diakses.
“Pada waktu ini, permainan dalam talian seperti Roblox dan lain-lain belum lagi dikenakan sebarang rejim pelesenan.
“Namun kerajaan sedang menilai langkah terbaik termasuk memastikan pengesahan identiti bagi mengelakkan kanak-kanak terdedah kepada kemudaratan dalam talian,” katanya.
Menurutnya, ketika ini pelesenan hanya terpakai kepada platform media sosial dan sistem pemesejan internet, manakala aplikasi permainan belum termasuk dalam kategori tersebut.
“Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti keseluruhan ekosistem ini supaya dasar yang diperkenalkan kelak bersifat menyeluruh, bukan hanya tertumpu kepada satu permainan,” katanya.
Beliau menjelaskan, kebimbangan itu timbul selepas beberapa insiden melibatkan kanak-kanak, termasuk kes seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang mencederakan adiknya selepas didakwa terpengaruh dengan permainan Roblox.
“Polis sedang menjalankan siasatan dan siasatan awal menunjukkan permainan Roblox ada kaitan. Namun kita serahkan kepada pihak polis untuk menentukan hasil siasatan,” jelasnya.
Fahmi berkata, beliau sendiri telah mengadakan pertemuan dengan dua wakil Roblox yang berpangkalan di Korea Selatan dan Australia untuk mendapatkan penjelasan mengenai langkah keselamatan dan had penggunaan bagi pemain bawah umur.
“Pihak Roblox memaklumkan bahawa mereka menghadkan beberapa fungsi kepada pemain berusia 13 tahun seperti interaksi dan komunikasi dengan pengguna lain.
“Namun, masih ada aplikasi lain yang terlalu mudah digunakan oleh kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata, ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan anak-anak di dunia digital.
“Peranti bukan pengasuh, peranti bukan pengganti ibu bapa. Saya telah arahkan MCMC supaya dalam kempen Internet Selamat akan datang, peranan ibu bapa perlu ditekankan dengan lebih jelas,” tambah Fahmi.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi itu memberi bayangan keperluan melesenkan sekurang-kurangnya 10 jenis permainan dalam talian, termasuk Roblox susulan insiden kanak-kanak lelaki enam tahun parah dikelar dan ditikam abang sendiri dipercayai akibat pengaruh permainan itu. – MalaysiaGazette
















