KUANTAN – Menteri Besar Pahang mahu momentum positif yang dicatatkan dalam pertumbuhan produktiviti buruh pada tahun 2024 terus dipertingkatkan.
Pahang mencatatkan pertumbuhan produktiviti buruh tertinggi di Malaysia bagi tahun 2024 dengan kadar 4.9 peratus.
Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menambah, kadar pertumbuhan tersebut mengatasi purata kadar pertumbuhan negara sebanyak 2.4%.
‘Pencapaian ini didorong oleh prestasi memberangsangkan sektor pembinaan yang merekodkan pertumbuhan 15.9%, diikuti sektor pertanian 12.8% dan sektor perkhidmatan 1.4%.
‘Keputusan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Pahang dalam memperkukuh daya saing ekonomi negeri, di samping memastikan kesejahteraan rakyat terus diperkasa melalui pembangunan sektor-sektor strategik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Pencapaian itu, katanya, merealisasikan hasrat Pahang untuk menjadi negeri maju, makmur dan berdaya tahan selaras dengan agenda pembangunan mampan negeri. – MalaysiaGazette
















