KUALA LUMPUR – Seorang pegawai kanan tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan wang tunai berjumlah RM34,500 sebagai balasan untuk tidak melaporkan aktiviti penyeludupan di Johor, Julai lalu.
Tertuduh yang tidak boleh dinamakan atas perintah mahkamah, bertugas sebagai Ketua Cawangan Rancang dan Kempen Gerak Saraf, Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia (PPPM) ketika kejadian.
Berdasarkan pertuduhan, pegawai itu didakwa menerima wang tunai RM34,500 daripada Chong Gui Lin melalui Zaifol Abd Hamid sebagai upah kerana tidak melaporkan aktiviti penyeludupan di daerah Kota Tinggi, Johor.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Trion@KL, Jalan Dua, Chan Sow Lin, di sini, pada Julai 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Tertuduh diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat.
Peguam bela memohon jaminan sebanyak RM6,000 dengan alasan tertuduh masih berkhidmat sebagai penjawat awam dan memerlukan pasport bagi menjalankan tugas rasmi di luar negara.
Hakim Azura Alwi kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin warganegara serta menetapkan beberapa syarat tambahan.
Antaranya, tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur pada minggu pertama setiap bulan, dan memaklumkan secara bertulis kepada mahkamah sekiranya perlu ke luar negara atas urusan rasmi atau peribadi.
Mahkamah tidak mengarahkan pasport tertuduh ditahan selepas mempertimbangkan keperluan tugasnya yang memerlukan pergerakan ke luar negara.
Selain itu, mahkamah mengarahkan media supaya tidak menyiarkan nama tertuduh memandangkan beliau masih berkhidmat sebagai pegawai risikan pertahanan yang terlibat dalam operasi sensitif.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 2 Disember depan. – MalaysiaGazette
















