KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menggesa kerajaan memperketatkan penguatkuasaan pemeriksaan bagi menangani kes pemandu lori tanpa lesen.
Ketu Biro Prkhidmatan Awam & Kebajikan Gerakan, Ong Slang Liang berkata, sehingga kini pemandu haram masih wujud kerana ada syarikat pengangkutan yang memilih untuk mengabaikan undang-undang demi menjimatkan kos atau menangani kekurangan tenaga kerja.
Tegasnya, ianya telah terbukti mengancam keselamatan awam apatah lagi sekiranya pemandu berkenaan terlibat dengan kemalangan.
“Kerajaan bukan sahaja perlu memperketat penguatkuasaan dan pemeriksaan, malah harus mempertimbangkan pindaan atau penggubalan undang-undang lebih tegas, termasuk tindakan jenayah dan denda tinggi terhadap majikan atau syarikat yang mengupah pemandu lori haram sebagai langkah pencegahan,” katanya menerusi kenyataan.
Tambahnya, dalam masa yang sama kerjasama antara agensi perlu diperkukuh termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Sumber Manusia bagi berkongsi maklumat pemandu serta rekod pengambilan pekerja syarikat demi memastikan sektor pengangkutan mematuhi undang-undang dan selamat.
“Keselamatan jalan raya bukan perkara kecil. Setiap kejayaan penguatkuasaan mungkin telah menyelamatkan nyawa. Kami menggesa kerajaan mengambil pendekatan menyeluruh tingkat kawal selia, percepatkan penggubalan undang-undang dan lindungi keselamatan rakyat,” jelasnya.
Baru-baru ini, seorang pemandu lori tanpa lesen melarikan diri selepas ditahan pegawai penguatkuasa JPJ di Jalan Sungai Chudas, Rawang.
Hasil siasatan polis mendapati suspek mempunyai lapan rekod lampau termasuk berkaitan dadah.
Ong berkata, isu berkenaan serius dalam industri pengangkutan, di mana terdapat majikan sanggup mengambil risiko melantik pemandu tanpa lesen sah atau mempunyai rekod jenayah.
“Kita bernasib baik kes ini berjaya dikesan awal. Jika lori tersebut hilang kawalan atau menyebabkan kemalangan, kemungkinan besar akan berlaku kecederaan atau kematian.
“Kerajaan tidak boleh menunggu jika berlakunya kemalangan barulah bertindak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















