Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar. Foto Hari Anggara, 22 SEPTEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming yang didakwa tidak profesional dan mencemarkan imej Kerajaan Madani apabila mengugut seorang wartawan ketika diajukan soalan berkaitan penggunaan bahasa Melayu.

Ketua Penerangan Pemuda Pas, Nadzir Helmi berkata, tindakan tersebut jelas mencerminkan sikap kebudak-budakan seroang pemimpin yang datang daripada DAP.

“Pemuda Pas Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan Nga Kor Ming yang dilihat mengugut seorang wartawan ketika diajukan soalan mengenai penggunaan bahasa Melayu.

“Perbuatan sedemikian tidak profesional, bersifat kebudak-budakan, dan mencemarkan etika seorang anggota Jemaah Menteri,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut beliau, tindakan seperti itu tidak sepatutnya datang daripada seorang menteri yang seharusnya menunjukkan teladan baik terhadap pengamal media serta masyarakat umum.

Nadzir menegaskan, bahasa Melayu merupakan Bahasa Kebangsaan seperti termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan tanggungjawab memartabatkannya bukanlah pilihan atau slogan bermusim.

“Kewajipan memartabatkannya bukan pilihan dan bukan slogan bermusim. Ia tidak boleh dikebelakangkan atas alasan komersial atau tujuan pelancongan semata-mata,” ujarnya.

Beliau berkata, pelancong datang ke Malaysia untuk melihat jati diri dan budaya tempatan, bukan untuk menyaksikan rakyat negara ini mengorbankan identiti sendiri demi melayan selera luar.

Sehubungan itu, Pemuda Pas menuntut Kor Ming untuk membuat penjelasan segera dan permohonan maaf terbuka kepada wartawan terlibat serta kepada rakyat.

“Kerajaan juga wajar menunjukkan teladan dengan mengutamakan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi, termasuk kenyataan media, dokumen, papan tanda dan acara kerajaan,” tambahnya.

Nadzir turut menegaskan, pihaknya sedia berdialog dan bekerjasama dalam sebarang inisiatif memperkasa bahasa Melayu sebagai lambang jati diri negara.

Namun tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang menormalisasikan intimidasi terhadap media atau meremehkan martabat Bahasa Kebangsaan.

Dalam program prapelancaran projek ‘I Lite U’, yang diadakan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, seorang wartawan bertanya mengapa tema projek itu menggunakan bahasa Inggeris.

Kor Ming menjelaskan ia merupakan acara pelancongan, penggunaan bahasa Inggeris lebih sesuai bagi menarik pelancong antarabangsa.

Namun, pemimpin DAP itu kemudian memberitahu wartawan Utusan Malaysia berkenaan bahawa dia akan menghubungi ketua pengarang akhbar itu berhubung soalan diajukan.

Semalam, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) membidas tindakan itu yang bukan sahaja tidak wajar, malah cubaan menakut-nakutkan serta menekan kebebasan media di Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast