Azizee.

GEORGE TOWN – Seorang pegawai jualan berputih mata apabila wang simpanannya lebih RM1.9 juta lesap selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pelaburan saham tidak wujud yang menggunakan nama syarikat antarabangsa, Merrill a Bank of America Company.

Ketua Polis negeri, Datuk Azizee Ismail berkata, wanita berusia 53 tahun itu mula terpedaya selepas melihat iklan pelaburan menawarkan pulangan tinggi di aplikasi Facebook pada Ogos lalu sebelum berhubung dengan suspek wanita melalui aplikasi WhatsApp.

Jelas beliau, mangsa kemudian dijemput menyertai kumpulan WhatsApp dinamakan “Merill” bagi tujuan penerangan lanjut mengenai pelaburan berkenaan.

“Mangsa dijanjikan pulangan antara 150 hingga 200 peratus dalam tempoh dua minggu selepas membuat pelaburan menerusi aplikasi yang dikenali sebagai MML MAX.

“Susulan itu, sejak 6 September hingga 28 Oktober lalu, mangsa telah membuat 35 transaksi memasukkan wang berjumlah RM1,974,000 ke dalam enam akaun bank milik syarikat berbeza,” katanya dalam kenyataan media  hari ini.

Tambah Azizee, mangsa hanya menyedari ditipu apabila gagal membuat pengeluaran keuntungan yang dijanjikan melalui aplikasi itu dan diminta membuat bayaran tambahan sebelum transaksi diluluskan.

“Berasa curiga, wanita terbabit akhirnya tampil membuat laporan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini kelmarin.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan kita ingin mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan keuntungan luar biasa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast