Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

KUALA LUMPUR – Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh menegaskan, kecerdasan buatan (AI) mungkin boleh membantu menambah baik kerja-kerja kehakiman, namun ia tidak mampu menggantikan tugas sebenar seorang peguam atau hakim.

Menurut beliau, teknologi berkenaan sudah digunakan dalam penyelidikan undang-undang, analisis kontrak, analisis ramalan serta dalam proses membuat keputusan kehakiman.

“AI umpama gergaji rantai yang memberikan manfaat sekiranya digunakan dengan betul, namun boleh memudaratkan jika disalahguna.

“Terimalah perubahan, tetapi jangan sesekali lupakan nilai teras kita. Kejar keberkesanan, tetapi jangan sehingga mengorbankan keadilan. Gunakan teknologi, tetapi pastikan ia tidak mengurangkan nilai kemanusiaan yang menjadi teras kerja kita,” katanya.

Ketua Hakim Negara menyatakan demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Undang-Undang Malaysia 2025 (MLF 2025) di sini hari ini.

Wan Ahmad Farid selanjutnya menyatakan, undang-undang bukan sekadar rangkaian peraturan dan duluan yang boleh diproses secara algoritma, sebaliknya adalah usaha kemanusiaan yang memerlukan pertimbangan dan bukan sekadar analisis.

“Ia memerlukan empati, pemahaman konteks serta penghayatan terhadap pengalaman hidup yang mendorong pihak-pihak terlibat ke hadapan dalam kes kita,” katanya.

Beliau turut menyatakan, undang-undang seperti yang diketahui umum, bukanlah sesuatu yang statik sebaliknya berkembang seiring masyarakat, disesuaikan dengan cabaran baharu serta kemajuan teknologi.

“Sebagai hakim, peguam dan pengamal undang-undang, kitalah pelindung evolusi. Kita bukan sahaja mentafsir undang-undang tetapi juga memainkan peranan dalam pembentukannya.

“Tanggungjawab kita melangkaui lebih sekadar peruntukan undang-undang bagi memastikan keadilan bukan sahaja ditegakkan tetapi juga kekal mudah diakses, adil serta relevan untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.

MLF 2025 dianjurkan oleh Thomson Reuters dengan kerjasama Legal and Business Academy of Malaysia, dengan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) selaku rakan strategik.

Forum edisi ketiga berkenaan menghimpunkan ahli kehakiman, pengamal undang-undang terkemuka serta pemimpin undang-undang korporat untuk bertukar pandangan mengenai cabaran undang-undang serta perkembangannya yang membentuk landskap undang-undang di Malaysia serta rantau ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast