KLANG – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memastikan aset-aset dan anggotanya bersedia menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) khususnya di 3,683 kawasan hotspot yang dijangkakan bakal berlaku banjir.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, pada tahun ini, pihaknya menggunakan pendekatan yang berbeza apabila mengarahkan semua pegawai kanan meninjau balai di kawasan-kawasan hospot bagi melihat keperluan kesiapsiagaan dengan segera.
“Tumpuan persiapan kita akan menjurus kepada persiapan logistik sementara sampainya musim. Manakala di kawasan-kawasan lain mahu tidak mahu kita kena terima hakikat MTL ini memang musim banjir, cuma kekhuatiran kita yang kita tekankan di sini adalah berlaku fenomena-fenomena sokongan lain yang akan menyebabkan banjir berlaku secara setempat ataupun bersifat mikro,” katanya Ketika ditemui semasa melawat Balai Bomba Pelabuhan Klang hari ini.

Terdahulu Nor Hisham berkata, Pahang mencatat hotspot banjir paling tinggi menjelang musim MTL iaitu 760 kawasan diikuti Terengganu (460) dan Kelantan sebanyak (618).
Selain persediaan menghadapi banjir di kawasan-kawasan ‘tradisi’ dalam masa yang sama pihaknya memberi tumpuan menerusi pemantauan rapat di kawasan potensi banjir yang diakibatkan oleh fenomena sokongan lain seperti Taman Sri Muda, Shah Alam dan Kuala Langat.
“Pengalaman kita sebelum-sebelum ini pernah hadapi isu di Kemaman, bagaimana berlaku juga di Taman Seri Muda berhubungan kepada lepukan tropika dan juga situasi atmosfera terkena rendah telah kita juga beri penumpuan tambahan kepada itu.
“Kita juga telah mengarahkan supaya pemantauan rapat lapangan dibuat jika cakap ramaran hujan ini dikeluarkan oleh Meteorologi Malaysia untuk suatu kawasan bersekali dengan bentuk fenomena air pasang,” tambahnya.
Beliau berkata, seramai 14,500 kekuatan anggota bomba di seluruh negara yang sedang bersiap sedia untuk berdepan dengan fenomena banjr tahun ini.
Sementara itu, menurut Nor Hisham, JBPM menyiapkan 983 aset darat dan marin bagi berdepan dengan musim MTL yang dijangka bermula bulan ini.
Aset darat merangkumi kenderaan angkut ringan (417); kenderaan angkut berat (119), kenderaan marin pula termasuk 431 bot menyelemat dan 16 bot Search and Rescue.
Terdahulu, MTL dijangka bermula pada 6 November dan berterusan hingga 26 Mac tahun depan.- MalaysiaGazette
















