KUALA LUMPUR – Tiada mangsa dilaporkan cedera akibat daripada kebakaran sebuah restoran dan bar mini di tingkat 57 Menara Tiga Petronas, Kuala Lumpur City Centre (KLCC) awal pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, pihaknya telah menerima panggilan pukul 6.41 pagi tadi berikutan daripada kejadian kebakaran tersebut.
Tambahnya lagi, pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak telah bergegas ke lokasi dan tiba pukul 6.48 pagi yang turut dibantu oleh BBP Hang Tuah.
Menurut Komender Operasi, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd Hafizan Hassan, kebakaran melibatkan keluasan kira-kira 40 x 40 kaki persegi dengan kemusnahan sepenuhnya pada ruang restoran.
“Api berjaya dikawal pukul 7.04 pagi dan dipadam sepenuhnya pukul 8.45 pagi,” katanya menerusi kenyataan di akaun rasmi Facebook JBPM Kuala Lumpur hari ini.
Selain itu, operasi pemadaman tersebut dilakukan dengan menggunakan sistem hose reel, wet riser dan bantuan sistem sprinkler bangunan.
Seramai 25 orang anggota serta beberapa jentera termasuk dua Jentera Pemadam Kebakaran, sebuah Lori Tangki Airdan sebuah Tangga Platform Udara telah digerakkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















