Mohd. Ridhuan Tee Abdullah.

KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah menegaskan, sudah sampai masa, pemimpin kurang ajar, ultra kiasu dilawan habis-habisan kerana penghinaan terhadap agenda negara yang tidak boleh dikompromi sama sekali

Menurutnya, sifat kurang ajar pemimpin ultra kiasu itu makin menyerlah sehingga sanggup mengugut wartawan untuk diadukan kepada ketuanya gara-gara bertanyakan soalan tidak mendaulatkan bahasa Melayu Tahun Menyambut Malaysia 2026.

“Kalau aku duduk di sebelahnya, pasti aku sudah ajar pemimpin ultra kiasu kurang ajar ini agar menjadi manusia yang sedar diri. Nak buat macam mana, Melayu duduk sebelahnya pun senyum sahaja.

“Jawapan bodoh yang diberikan kerana acara ini bersifat antarabangsa. Apakah kita mahu mengajar pelancong berbahasa Inggeris? Majoriti pelancong China tidak boleh berbahasa Inggeris kenapa mereka datang melancong ke negara kita?

“Oh ya, saya lupa, rupanya, kamu mahu menggunakan bahasa Cina dengan mereka. Apakah benar pelancong yang datang melancong ke negara kita mahu berbahasa Inggeris dengan kita?” soalnya di Facebook hari ini.

Walaupun tidak menyebut nama secara langsung, kenyataan Ridhuan Tee itu dipercayai merujuk kepada insiden yang tular di media sosial baru-baru ini melibatkan seorang menteri kerajaan didakwa mengeluarkan kenyataan berbentuk ugutan terhadap wartawan Utusan Malaysia ketika sidang media pra-pelancaran projek pelancongan “I Lite U”.

Dalam insiden tersebut, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dilaporkan mengugut wartawan tersebut dan akan membuat aduan kepada ketua pengarangnya selepas bertanya mengenai penggunaan nama projek dalam bahasa Inggeris.

Dalam pada itu, Ridhuan memuji pendirian Presiden China yang baru-baru ini membalas ucapan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dalam Bahasa Cina meskipun Xi Jinping tahu berbahasa Inggeris.

Kata beliau, demi mempertahankan jati diri dan kedaulatan negaranya, maka Jinpung tidak ada kompromi dalam soal bahasa.

“Dalam kata lain, orang China di China, begitu bangga dengan bahasanya. Peliknya, pemimpin ultra kiasu ini langsung tidak hormat kepada Bahasa kebangsaan, di tanah tumpah airnya sendiri.

“Malah, sanggup menghina wartawan tersebut hanya kerana bertanyakan soalan kenapa tidak menggunakan Bahasa Melayu sebagai tag line dalam kempen tahun melawat Malaysia,” katanya.

Menurut Ridhuan lagi, wartawan yang bertanya ialah dari Utusan Malaysia – akhbar yang sebelum ini dikenali sebagai Utusan Melayu dan antara penerbitan berpengaruh dalam perjuangan kemerdekaan serta jati diri Melayu.

“Itu pun berani mengugut wartawan tersebut. Saya tidak fikir menteri demikian akan memberikan respon sebegitu rupa jika yang bertanya adalah wartawan dari akhbar Bahasa Cina atau Inggeris.

“Tetapi itulah nasib Melayu di bumi Melayu. Di buminya sendiri, dia tidak dapat menegakkan kedaulatan bahasanya walaupun termaktub dalam Perlembagaan. Di bumi Melayu sendiri, Melayu dihina demikian rupa seolah-olah tiada maruah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast