Logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menafikan dakwaan bahawa Malaysia diwajibkan memansuhkan syarat lesen penyiaran yang menetapkan 80 peratus kandungan tempatan susulan perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat.

Menurut kenyataan MCMC hari ini, dakwaan yang dibuat oleh seorang bekas ketua pengarang berkaitan perkara itu adalah tidak benar dan mengelirukan serta tidak mencerminkan kerangka pelesenan penyiaran yang sedang berkuat kuasa di negara ini.

Kenyataan itu menyebut, tiada syarat kuota kandungan tempatan sebanyak 80 peratus dikenakan terhadap penyiar swasta di Malaysia di bawah lesen `Content Applications Service Provider Individual (CASP)’ atau lesen penyiaran individu yang dikeluarkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

“Lesen semasa memberi kebebasan kepada penyiar untuk menentukan kandungan masing-masing berdasarkan garis panduan serta piawaian kandungan yang ditetapkan oleh MCMC,” menurut kenyataan itu.

Menurut MCMC, lesen penyiaran di bawah AKM 1998 tidak mengandungi sebarang larangan terhadap penyiaran kandungan antarabangsa pada waktu perdana.

Kenyataan itu turut memaklumkan, penjadualan kandungan tertakluk kepada keputusan penyiar berdasarkan permintaan pasaran serta selaras dengan peraturan kandungan sedia ada.

Sementara itu, kerajaan kini sedang membangunkan Dasar Penyiaran Negara (DPN) yang bertujuan memastikan ekosistem penyiaran negara kekal mampan, memperkukuh pembangunan kandungan tempatan berkualiti, serta mewujudkan tadbir urus yang telus dan saksama bagi penyiar awam, swasta dan platform antarabangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast