KUANTAN – Kerajaan telah mewartakan tarikh 18 November pada setiap tahun sebagai Hari Penjaja dan Peniaga Kecil di seluruh negara.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia bagi menzahirkan penghargaan dan pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan komuniti penjaja dan peniaga kecil   di seluruh negara ke atas pertumbuhan sosioekonomi rakyat.

“Penganjuran program Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2025 (HPPK 2025) juga dinanti-nantikan oleh komuniti penjaja dan peniaga kecil untuk merancakkan lagi aktiviti perniagaan mereka.

“Pada masa yang sama, komuniti penjaja dan peniaga kecil yang berniaga di sini dan para pengunjung yang hadir juga berpeluang mendapatkan maklumat serta informasi terkini daripada reruai pameran agensi-agensi KUSKOP berkaitan dana pembiayaan, program latihan dan bimbingan keusahawanan yang ditawarkan secara langsung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan HPPK 2025 di Temerloh, hari ini.

Menurutnya HPPK juga menjadi pelengkap kepada dasar dan pelan tindakan yang telah dibangunkan kementerian bagi menyokong perniagaan penjaja dan peniaga kecil seperti Pelan Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil (P3PK) 2023-2027, Garis Panduan Kawal Selia Perniagaan dari Rumah (Home-Based Business) dan Dasar Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil Negara 2030 (D3PKN2030).

Penganjuran HPPK2025 disertai lebih 800 usahawan yang terdiri daripada usahawan Satu Daerah Satu Industri (SDSI), usahawan-usahawan di bawah Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia termasuk seramai 50 usahawan dari negeri Pahang dan penjaja dan peniaga di Pekan Sehari Temerloh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast