KUBANG PASU – Anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup kira-kira 10,000 liter minyak diesel menggunakan sebuah lori kargo rigid am di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, Jumaat lalu.
Kejadian berlaku sekitar 10.45 malam di Blok A kompleks berkenaan, apabila pemeriksaan ke atas lori terbabit menemui pengubahsuaian pada bahagian bawah kenderaan untuk menyembunyikan minyak diesel.
Menurut kenyataan AKPS, minyak diesel merupakan barang kawalan di bawah Perintah Kawalan Bekalan 1974, dan mana-mana individu yang mengangkut atau menyeludup bahan itu tanpa kebenaran boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1960 (Akta 122) serta Seksyen 21(1).
Dalam operasi itu, minyak diesel dianggarkan bernilai RM30,000 dan lori kargo rigid am bernilai RM80,000 telah dirampas, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM110,000.
Kes tersebut kini diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Negeri Kedah untuk tindakan lanjut. -MalaysiaGazette
















