Gambar hiasan

ALOR GAJAH – Kegembiraan ‘reunion’ keluarga besar di sebuah homestay di Durian Tunggal, di sini, bertukar pilu apabila seorang kanak-kanak lelaki ditemukan lemas di kolam penginapan berkenaan malam Sabtu.

Mangsa, berusia tiga tahun disahkan meninggal dunia selepas dihantar ke Hospital Melaka oleh ambulans Klinik Kesihatan Durian Tunggal pada jam 12.45 tengah malam tadi.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati mangsa bersama ibu bapanya serta 35 ahli keluarga lain menginap di sebuah homestay, Durian Tunggal bagi menghadiri program perhimpunan keluarga bermula pada 31 Oktober lalu.

“Pada hari kejadian, keluarga mengadakan aktiviti sukaneka sekitar jam 9 pagi dan berakhir kira-kira jam 3 petang sebelum semua ahli keluarga meneruskan aktiviti santai pada sebelah malam.

“Siasatan awal mendapati, ibu mangsa berusia 36 tahun memberitahu ada melihat anaknya sekitar jam 9 malam ketika dia naik ke bilik tingkat atas untuk bermain,” katanya.

Sumber berkata, kira-kira jam 10.30 malam, bapa saudara mangsa menemui kanak-kanak itu terapung dalam keadaan meniarap di dalam kolam dan tidak sedarkan diri.

“Bapa mangsa yang panik cuba melakukan bantuan pernafasan (CPR) sementara ibu mangsa menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan kecemasan.

“Mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Melaka dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada jam 12.45 tengah malam,” katanya.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast